Posted by: Fathi Yusof | Jun 16, 2019

Ujian Allah di Saat Lebaran

(catatan abi untuk ingatan kita sekeluarga agar kita tidak melupakan saat-saat getir dalam perjalanan hidup kita)

Alhamdulillah. Segala puji selayaknya kepada Allah yang memberikan peluang kepada kita sekeluarga untuk kembali ceria selepas ujian demam denggi di musim perayaan tahun 2019 ini. Ia satu pengalaman getir memang tidak dapat dilupakan.

masjid wp

Mana mungkin abi lupa pengalaman melalui saat demi saat isteri tersayang dan ketiga-tiga anak ditimpa demam yang dahsyat dan mengalami menurunan kadar penurunan platlet dalam darah sehingga ke tahap bacaan 8 sahaja.

DERITA DEMAM

Pada mulanya kita semua tak sangka ia denggi. Tambahan pula cuti panjang dan kepulangan ke kampung menyebabkan pemeriksaan darah sukar dibuat segera.
Kakak (Farhah) mula demam pada Jumaat malam Sabtu 1 Jun iaitu 27 Ramadan. Pulang tarawih kakak terus tidur. Penat.

musab
Pada pagi Sabtu pula adik (Mus’ab) demam. Kedua-duanya demam teruk sehingga tak mampu berpuasa sepanjang empat hari terakhir Ramadan. Waktu famili mahabbah berkumpul di Alam Damai, kedua-duanya sedang demam.

farhah
Bila ke Klinik Sulaiman, doktor berikat ubat gastrik kepada kakak dan ubat batuk selsema serta antibiotk kepada adik. Itulah penyakit yang didiognosis berdasarkan pemeriksaan yang dibuat. Maka dalam tempoh itu kedua-duanya dirawat dengan ubat-ubat itu, tetapi demam kedua-duanya amat lambat sembuh.
Waktu perjalanan pulang pada hari Isnin 3 Jun (29 Ramadan) kakak dan adik masih lagi demam dan penat.

perjalanan balik

sampaikedah
Demam kakak dan adik hanya berkurangan pada hari Raya kedua. Tapi masalah batuk dan sakit perut tidak juga reda. Mata adik pula kerap jadi merah. Waktu itu tak siapa jangka akibat denggi.

Manakala mama pula cergas dan segar waktu balik kampung. Tetapi mula nampak penat pada 4 Jun (30 Ramadan) — hari abi dan mama keluar membeli barang keperluan raya.

WhatsApp Image 2019-06-16 at 12.40.06
Balik dari pasar, mama maklumkan sakit badan. Kemudiannya badan panas dan demam. Saat itu kakak dan adik masih lembik demam. Jadi ada tiga yang demam.
HARAPAN ABI
Tengahari itu, abi cakap kat abang (Muslih): “Abang lah harapan abi, jangan demam yea!” abang senyum je. Tapi sebelah petang abang datang: “Abi minta maaf, abang pun demam juga!” Tergamam. Keempat-empat demam.

WhatsApp Image 2019-06-16 at 12.40.06(1)
Esoknya 5 Jun adalah hari raya. Banyak plan untuk masak itu dan ini. Abi yang tak pandai masak ini terpaksa back up buat apa yang patut. Sambil tu kena pastikan juga ada bekalan bubur nasi untuk dimakan oleh mama dan anak-anak yang demam.

WhatsApp Image 2019-06-16 at 12.40.05
Pada hari raya itu, kita solat sunat Idul Fitri di rumah sahaja. Selepas solat bergambar ringkas.Terhibur juga dengan tetamu kanak-kanak yang datang berziarah.

raya1


Cuba lihat gambar raya kami. Nampak mama, kakak, abang dan adik pucat. Gambar tu dapat senyum juga sebab kelakar lihat telatah budak yang datang beraya yang disuruh ambil gambar. Alhamdulullah sekurang-kurangnya ada juga gambar raya.

WhatsApp Image 2019-06-16 at 12.40.05(1)

Raya aidil fitri mama dan anak-anak dalam keadaan terkulai. Moga Allah memberkati dan mengampuni dosa-dosa kita sehingga bersih seperti fitrah.

WhatsApp Image 2019-06-16 at 12.40.05(2)
Petang raya tu abi bawa mama ke klinik. Sama seperi adik, mama didiagnosis sebagai demam batuk selsema.

raya2
Raya kedua (Khamis 6 Jun), bawa abang ke klinik, juga diberi ubat selsema, batuk serta tahan muntah. Mama layan tetamu macam dalam keadaan menahan sakit. Abang ula banyak tidur. Kedua-duanya amat lemah malam tu.
SAKIT BADAN
Keesokan harinya (Jumaat 7 Jun) adalah raya ketiga. Mama mengadu sakit badan yang amat kuat. Badan lemah dan sakit-sakit. Muslih pula pagi tu agak segar walau pun masih demam. Kakak dan adik sudah pulih demam tapi masih batuk-batuk dan sakit perut (kakak). Abi putuskan untuk bawa mama ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Muslih diajak sekali. Selepas di rawat, doktor minta untuk buat pemeriksaan darah mama sebelum dimasukkan ke wad. Dr Mahamad Yusof memeriksa mama lebih lanjut. Muslih hanya pesakit luar. Waktu di dalam wad, abi dimaklumkan keputusan ujian darah dah siap. Abi diminta jumpa Dato’ Dr Chan.
Bila keputusan darah dimaklumkan, abi terkejut. Sah denggi. Bacaan pletlet hanya 8. Ya Allah! Bantulah kami.
ANGKA PLETLET
Abi segera minta ujian darat dibuat untuk abang. Dalam hati berdoa, agar jangan denggi juga. Muslih mulanya enggan. Takut jarum katanya. Dipujuk akhirnya setuju. Keputusannya 82 dengan kadar sel darah putih yang rendah–juga sah denggi. Jadi, Muslih juga perlu dimasukkan ke wad.
Mama di bilik wad 501, Muslih pula ditingkat 4 bilik 401. Waktu itu teringat kakak dan adik. Terus telefon abang Fuad. Minta bantuan bawa mereka untuk ujian darah juga.
Farhah dan Mus’ab datang tersengih-sengih. Bagi mereka, demam dah berakhir dan sekarang masa untuk beraya. Tambahan pula dah ramai berkumpul di rumah tok wan. Tapi ujian ini penting sebab denggi biasanya tetap ada walau pun selepas demam. Bila dapat keputusan, pletlet kakak 65 tapi dianggap telah melepasi kategori denggi kerana petanda lain seperti sel darah putih dan kepekatan darah baik. Cuma tetap perlu pemantauan kerana kadar nadinya lemah.
Adik pula kadar pletletnya 109, agak tinggi tetapi dianggap positif denggi kerana faktor-faktor lain. Tambahan pula adik didapati mengaami jangkitan kuman microplasma yang memerlukan pemantauan lanjut.

WhatsApp Image 2019-06-16 at 12.40.05(3)
RAYA DALAM WAD
Jadi kedua-duanya pun ditahan di wad. Kini keempat-kempat perlu masuk wad. Alhamdulillah pihak pusat rawatan memberikan kerjasama baik untuk membenarkan semua keempat-empat berada di dalam satu bilik. Bilik 502 yang memuatkan 5 katil jadi pilihan. Mama dipindahkan sebelah petang. Muslih pula masuk dalam jam 10:15 malam. Semuanya berkumpul dalam satu wad. Di sini kita ‘beraya’.

mlm1

kakakm1

adik

Allah uji kita waktu ini untuk mengajak kita kembali kepadaNya. Meletakkan seluruh harapan kepadaNya. Hanya kepadaNya. Betapa kita manusia tiada upaya untuk mengubah apa-apa. Hanya mampu berusaha. Itu pun terlalu sedikit yang mampu dibuat.

Screenshot 2019-06-16 at 11.05.21 PM

Apa sangat yang kita mampu buat ke atas virus denggi, yang sangat kecil hingga mata kita pun tak mampu nak lihat.

Screenshot 2019-06-16 at 11.04.28 PM

Apa upaya kita nak membina sel-sel pletlet agar kembali bertambah. Tak mampu. Kita terlalu lemah. Lantas, hanya kepada Allah tempat kita bergantung.

Abi takkan lupakan saat getir pletlet mama yang turun dari 45 kepada 19 (Sabtu) dan turun lagi ke 14 (Ahad). Ditambah pula mama yang tidak selera makan dan mengalami jangkitan hempedu serta kembung. Hanya Allah tempat berserah. Tika pletlet mama naik ke 21, pletlet Muslih pula turun dari 84, ke 54 dan ke 43.

Screenshot 2019-06-16 at 8.55.18 PM

Kita tak lupa sokongan dan doa keluarga kita. Famili Kedah tak putus-putus berziarah menghiburkan hati kita di dalam wad, sambil menyediakan sup ketam dan jus pucuk betik sebagai ikhtiar penyembuh. Keluarga mahabbah pula tak putus-putus bertanya khabar dan berdoa. Terima kasih semua.

tok

Alhamdulillah mama dan anak-anak bersemangat untuk sembuh. Minum banyak air, walau pun sulit untuk ke tandas. Terpaksa panggil nurse untuk buka salur drip dan pasang kembali. Mama, abang dan adik diminta untuk catat semua yang dimakan, diminum, kencing dan berak. Adik semangatt untuk cipta rekod sukat air kencing hingga 450cc. Hehehe.

Pendekatan doktor yang merawat juga alhamdulillah cukup baik. Dato’ Chan memang pandai memberikan keyakinan dan menenangkan kita di saat yang getir dan genting. Jasanya dan juga jasa Dr Guna yang rawat adik kita tak lupakan. Mereka orang baik-baik. Moga Allah berikan hidayah kepada mereka dengan Islam supaya dapat menikmati syurga Allah.

dr chan

Akhirnya hari kelima dalam wad (Selasa), kita boleh pulang. Petang itu terus ke rumah tok dan tokwan untuk ambil beg. Kemudian bertolak pulang. Sedih juga tak sempat luang masa lama dengan tok dan tokwan. Tapi memandangkan tok dan tokwan dijadualkan datang KL beberapa hari kemudian, maka tak ras terkilan sangat.

balikKL

Pengalaman keluarga kita diuji dengan denggi ini sebenarnya amat berharga buat kita. Pertamanya ia menunjukkan betapa besarnya nikmat kehidupan, dan nikmat kesihatan. Kita kadang-kadang cuai untuk menjaga kesihatan dan kebersihan diri serta persekitaran. Kedua, pergantungan kepada Allah adalah sumber kekuatan buat kita. Ketiga, kesabaran dalam menghadapi kesakitan amat penting untuk kesembuhan. Keempat, ikatan kasih sayang keluarga kita sangat mahal harganya. Jagalah sebaik mungkin. Kelima, semangat dan kesungguhan untuk mencapai sesuatu (seperti kesembuhan) sangat penting. Sokongan luaran amat membantu semangat ini.

Kita sama-sama doakan moga Allah memberikan kita keberkatan, rahmat dan kesihatan sebaik-baiknya.

Posted by: Fathi Yusof | Mac 30, 2019

Kota Padang dan Bukittinggi, Sumatera Barat 2019

Kali ini kami berpeluang berkunjung ke Sumatera Barat, melawat bandar Bukittinggi, Istana Pagar Ruyung di Tanah Datar, Danau Maninjau, Danau Singkarak serta kota Padang. Seperti biasa, cuti sekolah je, kami terus cari peluang berjalan. Jadi selepas habis Family Day Mahabbah di Pantai Balo, pada hari Isnin 25hb Mac 2019, kami terbang ke Padang. Balik Khamis 28hb.

Sampai di Airport, kami disambut Pak Angga, supir dari Syarikay Kayu Gadang. Servisnya bagus. Pak Angga berumur 42 tahun, memandu dengan cekap dan cermat.

Bila sampai, kami di bawa ke Rumah Makan Lamun Ombak sebagai pembuka tirai menikmati masakan Padang. Memang enak. Waktu ni kami mencuba menu teh telur.

 

Selepas solat di sebuah masjid berhampiran, kami singgah ke Taman Tirta Alami Anailand, satu tempat rekreasi indah yang dibina di kawasan jeram menggunakan batu-batu sungai.

 

Selepas tu kami singgah pula ke kedai sate Padang. Amboi, kuatnya makan… Tapi sate ni tak sama dengan di Malaysia. Pertamanya, tanpa diminta untuk memilih kami dihidangkan dengan sate organ campur perut campur daging. Kuahnya kuah sate Padang, tak ada kuah kacang. Anyway sedap dan lezattt.

 

Kemudian kami check-in di Novotel Hotel di Bukittinggi. Cantik hotel ni. Semua dalam satu bilik. Baru jimat.

Ni malam gambar pertama masa menginap di Bukittinggi. Gambar Jam Gadang ni satu kemestian. Jam ini dibina sejak zaman Belanda, tapi dibaiki dan diuabahsuai dengan bentuk bumbung minang kemudiannya.

 

Hari esoknya (Selasa) kami ke Danau Maninjau. Memang cantik memukau. Tempat lawatan ialah Rumah Kelahiran Buya Hamka.

 

Sebelah saya itu Pak Akhyar, sepupu Buya Hamka. Panjang dia bercerita tentang sejarah dan keluarga tokoh hebat itu.

Selepas itu kami ke Puncak Lawang. Tempat rehat-rehat.

 

 

 

Posted by: Fathi Yusof | Januari 31, 2015

Memukul Anak Untuk Mendidik: Apakah Syarat-syaratnya?

Seperti yang telah dibincangkan dalam penulisan lepas, ibu bapa tidak mempunyai kebebasan mutlak untuk memukul anak-anak mereka. Mereka terikat dengan ketetapan Allah, Tuhan yang menjadikan anak itu, dan juga yang menjadikan ibu bapa. Maka memukul anak-anak hanya boleh dilakukan dengan syarat-syarat yang ditentukan agama. Bagi memudahkan perbincangan di sini saya perincikan syarat-syaratnya yang dirumus berdasarkan panduan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, termasuk juga diambil dari pandangan para ilmuan Islam:

  1. Anak berumur sepuluh tahun ke atas.

Anak yang belum berumur sepuluh tahun, tidak wajar dirotan atau disebat.

1364554950276431695

Namun hukuman yang lebih ringan seperti dengan memulas teliga, cubitan kecil, dan seumpamanya boleh dilakukan mengikut tahap pemikiran anak itu. Tahap umur ini berdasarkan hadith Nabi seperti yang dinyatakan dalam penulisan lepas. Rasulullah SAW hanya membenarkan pukulan bila anak berumur sepuluh tahun dalam kesalahan mengabaikan solat. Kesalahan ini amat besar dalam Islam, maka amat tidak wajar ibu bapa memukul atas kesalahan lain yang lebih kecil.

  1. Kesalahan yang dilakukanl biarlah setimpal dengan hukuman.

Baca Lagi…

Posted by: Fathi Yusof | Januari 31, 2015

Bilakah anak layak dirotan?

Sebagai ibu dan bapa yang baik, anda perlu berfikir dengan mendalam tentang dua persoalan ini sebelum anda pernah merotan atau memukul anak anda: Bilakah anak anda layak dirotan? Atau, bilakah anda sendiri layak merotan anak? Anda juga patut berfikir tentang persoalan: Setakat mana anda berhak mendidik anak dengan rotan? Adakah rotan berkesan untuk mengubah akhlak dan amalan anak anda?

nasihat-300x209

Istilah ‘merotan’ yang kami gunakan di sini bukan merujuk kepada hukuman menggunakan rotan sahaja, tetapi sebarang bentuk hukuman yang berbentuk pukulan sama ada menggunakan rotan, tali pinggang, penyangkut baju, kayu atau sebagainya. Ia juga termasuk tindakan memukul anak dengan tangan.

Memukul manusia adalah satu bentuk kekerasan. Pada asalnya, tiada manusia yang berhak menyakiti orang lain, walau pun anaknya sendiri. Rasulullah SAW sendiri melarang umatnya menyakiti antara satu sama lain. Apa lagi jika yang disakiti itu insan yang kecil dan lemah. Baca Lagi…

Posted by: Fathi Yusof | Januari 31, 2015

Perlukan menghukum anak-anak?

Terdapat segelintir ibubapa yang melihat bahawa tindakan menghukum anak-anak, samada melalui pukulan atau selainnya adalah satu kaedah lapuk yang tidak lagi sesuai zaman ini. Mereka berpandangan bahawa anak-anak cukup menerima didikan melalui pengajaran yang diberikan dan melalui pengalaman yang mereka lalui sendiri. Menurut mereka, anak-anak perlu didorong, bukannya dipaksa. Bagi mereka, menghukum anak-anak akan merencatkan perkembangan emosi mereka, dan menjadikan mereka pendendam, rendah diri, dan takut untuk meneroka perkara baru.

th (2)

Adakah anda setuju dengan pandangan seperti ini? Adakah ibu bapa tidak perlu menghukum anak-anak yag melakukan kesalahan. Adakah cukup jika anak-anak hanya diajar dan diberitahu serta dilarang, tanpa perlu dihukum dengan pukulan? Adakah ibu bapa tidak berhak untuk memukul atau merotan anak-anak?

Islam vs. Barat

Memang menurut kebayakan pakar psikologi barat, menghukum secara fizikal mesti dielakkan bagi mengelakkan kesan sampingan. Mereka berpendapat bahawa hukuman fizikal akan menyebabkan anak itu menjadi agresif dan suka berlaku kasar dengan orang lain. Selain itu, mereka mendakwa ia juga sukar dikawal dan boleh mendatangkan kecederaan kepada anak-anak.

Baca Lagi…

Posted by: Fathi Yusof | Januari 31, 2015

Berkahwin dengan bekas adik ipar

SOALAN:

Bolehkah seorang lelaki berkahwin dengan bekas adik iparnya, iaitu adik bekas isterinya yang telah meninggal dunia?

 

JAWAPAN:

Boleh.

Seseorang lelaki tidak boleh berkahwin dengan adik iparnya iaitu adik atau kakak kepada isterinya. Tetapi jika isterinya meninggal dunia atau telah bercerai dengannya, maka dia boleh berkahwin dengan bekas adik iparnya itu.

Menurut hukum fikah terdapat dua jenis mahram iaitu: mahram sementara dan mahram yang berkekalan. Pengharaman berkahwin dengan ipar termasuk kategori mahram sementara. Ia berlaku dengan sebab wujudnya hubungan perkahwinan. Pengharaman bermula selepas akad dan ia berakhir selepas habis ikatan perkahwinan.

Pengharaman ini berlaku kerana seseorang lelaki tidak boleh mengumpulkan dua wanita bersaudara dalam perkahwinannya. Ia termasuk dalam senarai wanita yang haram dikahwini dalam ayat 23 Surah Al-Nisa’. Allah berfirman:

…وَأَن تَجۡمَعُواْ بَيۡنَ ٱلۡأُخۡتَيۡنِ إِلَّا مَا قَدۡ سَلَفَۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ٢٣

  1. … dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Hukum ini bukan sahaja melibatkan adik beradik isteri, bahkan juga ibu saudaranya sama ada sebelah ibunya atau bapanya. Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya: “Tidak boleh dikumpulkan antara seorang wanita dengan ibu saudaranya (sebelah bapa) dan tidak juga antara seorang wanita dengan ibu saudaranya (sebelah ibu).” (Riwayat Al-Bukhari)

Dalam hal ini pada ulama’ menetapkan kaedah bahawa ‘seorang lelaki diharamkan berkahwin dengan kerabat isterinya yang mana jika dia berada di tempat isterinya dia haram berkahwin dengan kerabat itu’. Seorang lelaki itu haram berkahwin dengan adik-beradik, ibu saudara dan anak saudara. Maka seseorang lelaki yang beristeri tidak boleh berkahwin dengan adik-beradik isterinya, ibu-ibu saudara isterinya dan anak-anak saudara isterinya.

Walau bagaimana pun, oleh kerana pengharaman ini hanya sementara, maka bila lelaki itu berpisah dengan isterinya sama ada kerana kematian atau perceraian, hukumnya berubah menjadi halal. Wallahu’alam.

SOALAN:

Adakah perkahwinan ini boleh mendatangkan masalah dari sudut budaya dan agama?

 

JAWAPAN:

Dari sudut agama, ia tidak mendatangkan masalah kerana keharusannya adalah jelas. Para ulama ada membahaskan tentang hikmah pengharaman mengumpulkan dua adik beradik. Antara hikmahnya untuk mengelakkan berlaku konflik sesama saudara akibat perasaan dengki dan dendam yang amat mudah timbul di kalangan wanita yang bermadu. Hal ini bersandarkan kepada kata-kata Nabi SallaLlahu ‘alaihi wasallam selepas baginda melarang seorang wanita dikumpulkan bersama-sama dengan ibu saudaranya: “Jika mereka (kaum wanita) itu melakukan demikian, mereka telah memutuskan hubungan silaturrahim.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Terdapat juga hadis riwayat Abu Daud (hadis mursal) daripada Isa bin Talhah yang menyebut bahawa Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi wasallam melarang seorang wanita dinikahi atas pernikahan kerabatnya bagi mengelakkan pemutusan hubungan persaudaraan.

Jika dirujuk kepada hikmah pengharaman ini, dapat difahami bahawa masalah yang dirisaukan daripada bermadu dengan adik beradik adalah soal terputusnya ikatan persaudaraan. Masalah yang dirisaukan itu hilang bila ikatan perkahwinan yang pertama sudah tiada lagi. Oleh itu andaian bahawa perkahwinan demikian tidak baik dan mendatangkan masalah perlu diketepikan.

Setiap apa yang diharamkan ada keburukan dan mudaratnya. Sebahagian keburukan itu dapat difahami oleh manusia dan dinyatakan sebagai hikmah pengharaman. Tetapi hakikat sebenar hikmah pengharamannya mungkin tidak mampu difahami oleh manusia. Demikian juga soal keharusan sesuatu perkara. Apabila Allah mengharuskan sesuatu, maka kita perlu yakin bahawa keburukan yang timbul akibat pengharamannya sudah tiada lagi. Oleh itu tidak wajar untuk kita menandai-mandai mencipta hukum dalam bentuk ‘pantang-larang’ atau sebagainya yang tidak mempunyai asas yang zahir.

Bahkan dari sudut hubungan antara seorang lelaki dengan mertuanya, perkahwinan dengan bekas adik ipar begini dapat mengekalkan hubungan kasih sayang antara satu sama lain. Bahkan ia juga mungkin mendatangkan kebaikan kepada anak-anak. Namun begitu, tidak salah bagi mana-mana pihak untuk mempertimbangkan soal ini berdasarkan masalah-masalah yang zahir seperti krisis rumah tangga yang pernah wujud atau sebagainya.

Wallahu’alam.

SOALAN:

Bagaimana pula jika adik perempuan itu pernah menyusukan anak kepada lelaki itu, iaitu anak saudaranya. Adakah lelaki itu boleh berkahwin dengannya yang juga menjadi ‘ibu susuan kepada anaknya’?

 

JAWAPAN:

Boleh. Seorang lelaki boleh berkahwin dengan ibu susuan anaknya. Oleh itu, jika kebetulan ibu susan itu adalah bekas adik iparnya, maka dia juga boleh berkahwin dengannya.

Pengharaman dengan sebab penyusuan melibatkan wanita-wanita berikut:

  1. Ibu susuan dan ke atas.
  2. Saudara perempuan susuan, iaitu anak kepada ibu susuan, atau anak susuan lain kepada ibu susuan.
  3. Anak perempuan kepada saudara sesusuan.
  4. Ibu saudara susuan, iaitu wanita yang menyusu bersama-sama dengan bapa atau ibu seseorang lelaki.
  5. Anak perempuan kerana sesusuan, iaitu wanita yang menyusu dari isteri kepada seorang lelaki, maka lelaki itu menjadi bapa kerana susuan.
  6. Ibu susuan isteri.
  7. Anak perempuan susuan.
  8. Isteri kepada bapa susuan.
  9. Isteri kepada anak lelaki susuan.

Hukum pengharaman susuan tertumpu kepada hubungan antara ibu susuan dan anak susuan itu. Ahli keluarga lain tidak terikat dengan hukum itu. Contohnya Harun adalah anak susuan Siti. Harun tidak boleh berkahwin dengan anak perempuan Siti kerana mereka adalah adik beradik susuan. Tetapi adik-beradik Harun yang lain, yang tidak pernah menyusu dengan Siti, boleh berkahwin dengan anak-anak Siti.

Kaedah yang sama terpakai dalam permasalahan di atas. Wallahu’alam.

Posted by: Fathi Yusof | Oktober 25, 2014

Berkongsi Kasih Kerana Poligami

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya ni wanita yang dah berusia 40 tahun. Anak-anak saya dah besar panjang, ada yang sudah masuk universiti. Masalahnya ustaz, suami saya ni tiba-tiba beritahu saya yang dia hendak kahwin lagi. Saya rasa macam dunia ni nak kiamat. Saya tak rela hendak dimadukan dan saya tak rela hendak berkongsi kasih. Saya tahu poligami itu harus dalam Islam. Apa yang terbaik perlu saya lakukan ustaz?

Faridah,

Ampang, Selangor.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrh wth, Puan Faridah. Pertamanya saya mengucapkan syabas kepada puan kerana mengemukakan apa yang buku dihati ini melalui ruangan ilmiah dan berasaskan pedoman agama. Tindakan ini amat bertepatan bagi mengelakkan kita terbawa-bawa dengan perasaan sedih dan marah sehingga bertindak diluar kewarasan dan pertimbangan adil.

Bila ditanya kepada mana-mana isteri, kebanyakan mereka biasanya akan menyatakan berat untuk membenarkan suami mereka berkahwin lain. Masing-masing tidak sanggup berkongsi kasih, atau melihat suaminya sendiri berada disamping wanita lain. Perasaan cemburu sebegini adalah normal dan semulajadi. Bahkan Baca Lagi…

Posted by: Fathi Yusof | September 25, 2014

Edah Kematian Suami

Sepupu perempuan saya baru kematian suaminya. Bolehkah ustaz nyatakan edah baginya. Adakah ada pantang larang ke atasnya?

Yanti

Klang

Jawapan:

Edah kematian adalah empat bulan sepuluh hari . Namun jika dia hamil, edahnya ialah sehingga dia melahirkan anak.

Bagi isteri yang kematian suami dia wajib berkabung iaitu dengan meninggalkan pemakaian wangi-wangian, bersolek, atau memakai barang perhiasan. Selain itu dia tidak boleh keluar rumahnya melainkan kerana keperluan, seperti bekerja, mendapatkan barang keperluan dan lain-lain. Dalil berkabung dalam tempoh eddah adalah hadith riwayat Al-Bukhari (938) yang bermaksud:

“Wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tidak dihalalkan berkabung (meninggalkan perhiasan dan wangian) disebabkan kematian seseorang melebihi tiga malam kecuali kerana kematian suaminya, iaitu selama empat bulan sepuluh hari.”

Wallahu ‘alam.

Posted by: Fathi Yusof | Februari 20, 2014

Bila anak-anak ketagih game…

Ramai ibubapa menjadi pening dengan perangai anak-anak yang ketagih bermain dengan permainan video atau komputer. Permainan ini yang lebih senang disebut game memang mengasyikkan terutamanya bagi kanank-kanak dan remaja.

Pemain game menjadi asyik sehingga lupa dunia sekeliling. Lupa untuk buat apa yang mereka patut buat dan lupa untuk menunaikan tanggungjawab. Kadang-kadang keasyikan menyebabkan pemain menjadi malas untuk melakukan perkara lain. Rasa berat untuk meninggalkan gajet mainannya.

Bahkan ibu bapa kadang-kadang dirasakan seperti musuh yang menghalang mereka untuk ‘berjuang’ dimedan gamenya. Akibatnya ibu bapa semakin pening dan sakit hati

??????????????????????????????????????????????????????????????????

Anak-anak boleh menjadi degil kerana game. Tarikan kuat game menjadikan perkara-perkara lain tidak lagi menarik. Mereka jadi kurang tertarik untuk bersukan, apa lagi untuk belajar, bersolat, dan melakukan apa yang ibu bapa mereka suruh. Bahkan kadang-kadang mereka sudah kurang tertarik untuk makan. Ada yang makan sambil bermain game. Bila disuruh buat apa-apa mereka rasa berat dan malas. Lama-kelamaan mereka menjadi anak degil. Baca Lagi…

Memahami Perubahan Anak-anak dan Beberapa Persediaan Untuk Menghadapinya (Siri 2)

Dalam catatan lalu, kami mengemukakan pandangan tentang beberapa hakikat perubahan yang dialami oleh anak-anak dalam proses tumbesaran mereka. Dalam catatan kali ini kali kemukakan aspek pertama perubahan yang dimaksudkan itu.

Perubahan pertama yang perlu diketahui oleh ibubapa ialah perubahan dari sudut pergantungan anak-anak kepada mereka. Bayi yang baru lahir bergantung hampir sepenuhnya kepada penjaga atau ibu bapa untuk menguruskan diri mereka, baik dalam urusan makan, pakaian, membersihkan najis, dan bergerak ke sana sini.

Semakin bayi itu membesar semakin banyak yang mereka boleh berdikari. Bagitu juga dari sudut membuat keputusan. Ketika masih bayi, semua keputusan seperti pilihan pakaian, dan sebagainya ditentukan oleh ibu bapa.

Semakin anak itu membesar, mereka semakin belajar untuk membuat keputusan sendiri seperti memilik makanan yang lebih disukai, memilih pakaian yang digemari dan seumpamanya. Bila anak itu remaja dan dewasa, pergantungan kepada ibu bapa untuk membuat keputusan semakin berkurangan.

Pergantungan anak-anak ini berkait rapat dengan kawalan ibu bapa ke atas anak-anak. Semakin besar pergantungan anak-anak, maka semakin besarlah kuasa ibu bapa menentukan keputusan untuk anak-anak.

Bila anak itu remaja dan dewasa dengan sendirinya kuasa dan pengaruh ibu bapa akan berkurangan sedikit demi sedikit. Ibu bapa yang baik mengetahui waktu yang tepat untuk menyerahkan ‘kuasanya’ dalam anak-anak untuk membuat keputusan dalam sesuatu perkara.

Penyerahan kuasa

Ibu bapa yang baik juga mengetahui bahawa penyerahan kuasa sewajarnya berlaku secara beransur-ansur mengikut perkembangan dan kemampuan anak-anak. Menyerahkan kuasa kepada anak-anak tidak semestinya menyerahkannya secara total.

Ibu bapa boleh menetapkan sempadan dan panduan. Contohnya, jika memberikan ‘kuasa’ kepada anak-anak untuk membeli baju raya, ibu bapa wajar menetapkan kriteria baju yang dikehendaki, khususnya yang berkait dengan batas-batas syariat.

Ibu bapa yang gagal menghayati perkara ini mungkin akan terjebak dengan dua ekstrem.

Yang pertama, mereka mungkin terlalu awal memberikan ‘kuasa’ kepada anak-anak untuk membuat keputusan, tidak memandu anak-anak tentang bagaimana cara menggunakan kuasa dan tidak memantau bagaimana anak-anak mereka menggunakan kuasa yang baru diperolehinya.

Kesannya anak-anak mereka akan terlalu bebas dan mungkin hilang pedoman. Inilah faktor kenapa anak-anak sentiasa perlu diingatkan dengan pedoman dari al-Quran dan Sunnah agar mereka mampu membuat keputusan yang tepat dengan agama.

Kedua, mungkin juga ada ibubapa yang terlalu sukar untuk meyerahkan kuasa membuat keputusan kepada anak-anak.

Ibu bapa ini cuba memastikan setiap perkara diputuskan oleh mereka sendiri, baik dalam urusan makanan, pakaian, pendidikan, hobi, pemilihan kawan, dan sebagainya. Anak-anak tidak dapat membuat keputusan sendiri melainkan jika mereka melakukan secara diam-diam dan bersembunyi.

Akibatnya, anak-anak kurang mampu berdikari dan terlalu bergantung kepada orang lain. Bahkan, mungkin juga anak-anak akan rasa dikongkong, lantas cuba untuk memberontak bagi melepaskan diri dari pengaruh ibu bapa.

Oleh itu, cara yang terbaik ialah mencari jalan tengah iaitu melepaskan anak-anak dari kawalan dan pergantungan secara beransur-ansur dan berperingkat-peringkat.

Kaedah yang betul dalam mengurangkan kawalan ke atas anak-anak anak menjadikan anak lebih mampu berdikari, mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan mampu membuat pertimbangan dengan matang. Selain itu ia juga membina perasaan selamat dan kepercayaan yang tinggi anak-anak kepada ibubapa mereka.

Tegasnya, ibubapa perlu peka dengan perkembangan anak-anak dan bijak bertindak menyesuaikan pendidikan anak-anak sesuai dengannya. Inilah kaedah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat dalam mendidik generasi muda.

Insyaallah dalam catatan berikutnya kami akan kemukakan tiga lagi aspek perubahan anak-anak. Selamat mendidik anak-anak menjadi insan cemerlang dunia dan akhirat!

Abi Muslih.
Gombak, Selangor.

Older Posts »

Kategori