Posted by: Fathi Yusof | Julai 2, 2007

Fasakh buat isteri yang dianiaya suami

Soalan:

SAYA dan suami bekerja sebagai guru dan sudah berkahwin 14 tahun serta mempunyai enam anak. Sepanjang perkahwinan kami, semua gaji saya akan diperuntukkan untuk membeli keperluan rumah tangga dan sekolah anak, sedangkan suami tidak pernah ambil peduli keperluan anak. Suami lebih mendahului orang luar dan jarang berada di rumah. Balik dari sekolah, beliau akan tidur dan apabila bangun, menghabiskan masa di kedai kopi sepanjang hari sehingga lewat malam. Rutin hidup beliau setiap hari benar-benar mengecewakan saya menyebabkan jiwa saya tertekan. Kami sering bergaduh dan saya meminta suami menceraikan saya tetapi tidak dipersetujuinya. Saya sedih apabila suami mengatakan dia tidak mahu melepaskan saya kerana katanya susah mencari isteri yang baik. Disebabkan tindakannya, saya sudah tiada perasaan sayang lagi terhadapnya malah timbul benci, tertekan dan saya sering terfikir untuk membunuh diri. Saya sangat mengharapkan suami berubah dan berada bersama kami sekeluarga di rumah serta mendidik anak yang sedang membesar. Tetapi apabila saya cuba berbincang, beliau akan menolak mentah-mentah semua pendapat saya, umpama menyiram air ke daun keladi. Saya mohon pendapat tuan, apakah yang perlu dilakukan dan apakah ada cara untuk keluar daripada ikatan perkahwinan begini?

Guru tertekan

Pahang

Jawapan:

SAYA simpati dengan apa yang puan lalui disebabkan tindakan suami yang kurang bertanggungjawab. Saya melihat setiap individu adalah salah satu juzuk daripada keluarga (usrah) mempunyai peranan masing-masing yang tersendiri.

Individu adalah batu bata dalam pembentukan sesuatu keluarga. Batu bata yang sudah diikat dalam keluarga itu pula adalah sel penting dalam pembentukan masyarakat.

Jika ikatan batu bata individu dalam keluarga itu longgar, maka goyahlah bangunan masyarakat.

Dalam berkeluarga, semua pihak perlu bekerjasama untuk menjadikan perkahwinan berjaya. Islam menetapkan tanggungjawab dan hak suami serta isteri seperti berikut:

Tanggungjawab dan hak suami.

Antara tanggungjawab suami menyediakan nafkah kepada isteri berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan bagi isteri-isteri kamu, hendaklah kamu memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik.” (Hadis riwayat Muslim).

Suami juga mesti bergaul dengan isteri dengan cara yang baik. Firman Allah yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik.” (Surah an-Nisa’, ayat 19)

Tanggungjawab dan hak isteri.

Isteri wajib mentaati suami dalam perkara yang bukan maksiat.

Isteri juga tidak boleh membenarkan orang lain memasuki rumah tanpa kebenaran dan keredaan suami.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya ke tempat tidurmu (memasuki rumahmu). (Hadis riwayat Muslim)

Begitu juga dengan maruah, setiap isteri mesti menjaga kemuliaan, kehormatan dan harta benda suami. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan sebaik-baik perkara yang disimpan oleh lelaki? Ia adalah isteri yang salihah; apabila suami melihatnya, dia menggembirakan suaminya, apabila suami menyuruhnya, dia taat, dan apabila suaminya tidak ada bersamanya, dia menjaga dirinya dan harta benda suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Tanggungjawab bapa terhadap anak.

Islam juga mewajibkan bapa secara khusus memberi nafkah kepada anak. Menjaga kebajikan anak, termasuk menyediakan dalam kadar munasabah keperluan untuk hidup, belajar dan kesihatan.

Begitu juga anak wajib dididik supaya sentiasa beribadat dan berakhlak mulia. Tugas mendidik berada di atas kedua ibu dan bapa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Didiklah anak kamu dengan tiga perkara; cintakan Nabi kamu, cintakan ahli keluarga Nabi kamu dan membaca al-Quran.” (Hadis riwayat Dailami)

Kini kita selalu berjumpa dengan masalah hampir sama seperti puan hadapi. Suami tidak bersungguh menjaga kebahagiaan dan menunaikan tanggungjawab dalam keluarga.

Perkembangan ini sangat menyedihkan kerana apabila bapa tidak menjalankan tugasnya dengan baik, anak kurang terbentuk dan hilang hormat kepadanya. Sedangkan anak adalah zuriat dan menjadi pelapis masa depan yang perlu diberi perhatian, didikan serta kasih sayang.

Kadangkala ada suami yang memberi wang sebagai nafkah tetapi tidak mendidik anak dengan baik.

Walaupun bapa memberi nafkah kepada anaknya sekalipun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan terus tanggungjawabnya mendidik anak kerana semua ibu bapa adalah penjaga dan mereka akan dipersoalkan di akhirat kelak mengenai orang di bawah jagaannya.

Jika suami puan masih berterusan mengabaikan tanggungjawab nafkah terhadap anak, puan boleh mengemukakan tuntutan di Mahkamah Syariah supaya suami diperintahkan membayar nafkah anak dalam jumlah sewajarnya.

Perintah pembayaran nafkah anak juga boleh dibuat dengan cara potongan gaji suami.

Tetapi perlulah diingatkan bahawa campur tangan mahkamah adalah jalan atau pilihan terakhir. Cubalah berbincang dengan cara baik dan penuh hikmah.

Sekiranya nasihat atau kata-kata puan terhadap suami bagai mencurah air ke daun keladi, sebaiknya puan berusaha mendapatkan nasihat atau pertolongan daripada ahli keluarga lebih tua dan matang yang disegani suami.

Individu itu mestilah seorang yang tidak memihak kepada mana-mana pihak, kata-kata dan nasihatnya didengar dan diterima oleh suami.

Jika usaha ini juga tidak berjaya, puan panjangkan perkara ini ke Bahagian Perundangan Keluarga Jabatan Agama Islam tempat puan tinggal.

Biarlah pegawai kaunseling di jabatan berkenaan berjumpa dan menasihatkan suami.

Kadangkala suami akan mendengar nasihat dan teguran yang dibuat pegawai kaunseling ini.

Jauhkan fikiran puan daripada memikirkan perkara yang menyesatkan seperti membunuh diri.

Membunuh diri bukan saja berdosa besar, malah puan tidak akan mencium bau syurga. Membunuh diri juga bukan penamat masalah.

Fikirkanlah nasib anak puan yang masih memerlukan belaian seorang ibu yang penyayang dan mulia.

Sebagai orang Islam, kembalilah kepada ajaran Islam yang syumul dan lengkap.

Banyakkan berdoa, sembahyang hajat dan memohon keampunan daripada Allah. Mudah-mudahan Allah membuka hati suami untuk menjadi suami yang baik yang akan dikenang baik sepanjang hayat oleh isteri dan anak.

Apabila segala ikhtiar gagal dan puan tidak mahu lagi berada dalam ikatan perkahwinan, maka puan boleh menuntut fasakh atau cerai taklik atas alasan pengabaian nafkah oleh suami terhadap diri puan.

Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar dan soalan boleh dikirim ke exco_pgsm@yahoo.com


Respon

  1. kepada pasangan guru tersebut, alhamdulillah..sekurangnya suami anda tidak meninggikan suara dan memukul anda.bagi saya, kesabaran adalah segala-galanya. Ujian Tuhan mungkin dapat menghapuskan dosa-dosa kecil kita. Insya Allah. saya menghadapi masalah yang sama dengan puan. cerita puan sama dengan masalah saya.bezanya kami baru 5 tahun kahwin dan dikurniakan seorang anak berusia 4 thn.saya langsung tidak dibenarkan memberi pendapat apalagi hak untuk menegur.setiap tahun, pasti saya dipukul..bukan sikit malahan dipijak-pijak. maki hamun sudah biasa diberikan kepada saya. saya dimaki isteri sial, anjing, babi yang adakalanya saya terfikir siapa saya yang sebenarnya disisinya. cerai tidak digalakkan malahan dibenci.. tapi saya tidak sanggup dan hanya menangis..berdoa semoga saya mendapat banyak pahala dengan kesabaran ini. insya Allah.. saya sering mengingatkan diri saya bahawa ada orang yang lebih teruk ujiannya daripada saya….

  2. semoga kebahagian puan akan meyusul tidak lama lagi sebagai balasan yang puan buat selama nie………. allah tidak akn berikan ujian diluar kemampuan hambanya………..

  3. saya kagum dengan kesabaran puan, tapi saya juga yakin dan percaya Allah tidak menguji hambanya sebaliknya dia tahu kemampuan hambanya..sesungguhnya pohonlah dari Allah, dia maha mendengar, saya juga doakan puan akan menemui kebahagiaan.

  4. Saya pun mempunyai nasib yang sama dengan puan,kadang-kadang terlintas di fikiran saya untuk bunuh diri kerana tidak tahan dengan perangai suami..saya tidak dibenarkan berjumpa dengan adik beradik dan saudara mara,salah sikit kena maki hamun dan kena pukul..suami juga menuduh saya bermacam-macam perbuatan yang keji..kalau saya ajak suami untuk solat berjemaah,suami akan memberikan pelbagai alasan..anak-anak pun tidak dibenarkan untuk solat bersama saya kerana suami bimbang anak-anak akan menganggu solat..saya terpaksa bertekak dengan suami apabila suami melarang anak-anak solat bersama saya.
    Saya harap Allah akan tunjukkan jalan yang terbaik untuk kami.

    • Isteri saya lain pula, minta fasakh pasal tak dapat kereta baru, dan mengatakan saya banyak hutang. Memang saya ada hutang dgn bank. Gaji saya dgn isteri sama banyak, tapi 3/4 gaji saya dibelanjakan untuk keluarga, ansuran rumah, kereta, duit pasar, duit belanja rumah. Ister hanya bayar duit bas sekolah anak, belanja sekolah, api dan air sajhaja. Saya mintak jemput saya pun liat nak mengambil nya, semuanya diungkit. Kami pasangan yang tak pernah bersyukur saya rasa, jadi bila tersedar, saya mengajaknya bersembahyang dan memohon petunjuk dari Allah, dan saya dersedia mengajarnya sembahyang, saya pula dimakinya. Dia kata bila dah terduduk, baru nak minta pertolongan. saya pun tak berkereta, malah duit ansuran kereta saya bayar, dan dia meminta kereta lebih besar. Anak saya 3 orang, dan sekarang sibuk meminta cerai.

  5. bagi sy puan kenalah fikir pasal anak puan yg sedang membesar sekarang.ada kah anak paun boleh terima keadaan puan bila bercerai nanti?
    fikirkan lah ye puan

  6. saya tidak bekerja dan baru lepas bersalin…tp suami lari dr tanggungjawab mcm kisah diatas..yg menyedihkan ibu bapa saya yang masih menanggung saya dan anak…duit gaji nya 1 sen pun xpnh nk bg….sedih nya mcm ni…bila saya hendak ke jab agama dia ckp ”pegilah sendiri, saya xmahu pergi”…saya dlm dilema…

  7. hye,.ann.. saya pun lebih kurang anda..tp saye terlampau x thn..sebab anak dh masuk 3 dia tetap prangai cmtu..last skali saya ambil keputusan cr keje demi ank2

  8. suami saya curang dan berzina dengan perempuan lain ketika saya sedang mengandungkan anak yang ke2. apabila anak itu lahr, diceraikan saya dengan talak 2 kerana memarahinya mempunyai perempuan lain. nafkah tidak pernah diberi sedangkan gaji yang dimiliki hampir 2 ribu sebulan. malahan, gaji saya, saya dahulukan hutang piutang memikirkan mungkin suami saya boleh menangung perbelanjaan kami sekeluarga. tapi tak.. baru awal bulan, sudah minta ayahnya wang. sedangkan kami, 1 sen pon tidak dapat. hanya rm50 yang saya curik dlm poker seluarnya kerana duit sudah habis dibayar hutang. wang tu hanyalah untuk membantu saya membeli barang keperluan dan anak. sesudah itu, anak nya yang masih merah tidak pernah dihiraukan, kerana sibuk kan diri yang nak kurus, hensem, bergaya untuk perempuan simpanan nya yang hampir 5 orang sekaligus. doa saya tidak pernah lekang dan minta ALLAH tunjukkanlah kebesaran nya, bahawa betapa kerdilnya dia di muka bumi ini dan betapa berdosanya dia menganiya anak dan isteri. sekarang tengah seronok, sombong dgn saya minta jgn menggangu nya lagi. segala pengorbanan saya terlalu banyak dan tak terkata pabila dia pernah tidak bekerja dan membiarkan saya mencari rezki seorang diri, pergi balik kerja saya naik bus malam-malam, sedangkan dia sanggop berada di cyber cafe melayar internet dan game daripada mengambil saya pulang mencari rezki untuk kami sekeluarga. saya mencari duit sehingga berhutang hny untuk mengeluarkan sebuah kereta khas untuk kami sekeluarga. tidak pernah rasa itu adalah hak milik saya walau atas nama saya. kereta itu, dipakai suami kehulur kehilir ke tempat kerja, dan membawa wanita lain. sedangkan saya dan anak, berjalan kaki mencari makan. tidak pernah ditanya soal makan minum kami, apalagi mendahulukan kami anak beranak. ya allah, betapa besarnya dugaan mu, aku pohon kau tunjukkan lah. aku isteri teraniaya, pohon kepadamu ya allah, berilahj penyesalan yang teramat besar kepadanya suatu hari nanti.. main.. moga kalian dapat mendoakan saya meneruskan hidup dengan aman dan bahagia bersama anak2.

    • Subhanallah semuga Allah membuka jalan untuk saudari, banyakkn meningati Allah , say doakn puan dapat menempuhinya dgn tabah,Amin.

  9. salam…sy mengalami mslh hampir sama…sy dh mendirikn rumahtangga selama 3thn….sy pernah mengandung selama 6bln…tetapi apakn daya tuhan sygkn anak sy…sy redha..pasrah….sy x pernah tnyer kemana suami sy pergi keluar…krn sy takut suami sy akan kata ”papa x suka mama ambk tahu mana papa pergi,dgn siapa papa keluar….selama ini sy tidak pernah curang…seorg yg paling setia dgn suami…tetapi baru2 ini suami telah menjalinkn hubungan dgn wanita indonesia(jawa) seorg janda anak 2…kata nya nk ambk sebagai pembantu rumah…tp sebagai isteri rupanya…hati mana yg x sakit….hanya tuhan saja yg tahu…siap buat maksiat lg…bila sy pergi kerja…sumai sy sempat blk kerumah jmp perempuan tu….bilik sy dan perempuan tu sebelah saje….sy x sengaja tanya”papa..kat dada(sebelah puting) papa tu knp?kata suami sy terkepit pintu”…..sy dh tahu apa itu…love bite dr perempuan tu….krn waktu tu sy datang bulan….x kn lh sy yg lakukn…dh berapa kali mrk tidur bersama…tangisan sy x berhenti2 setiap saat….siap suami berjanji dgn perempuan tu nk tidur bersama…masa tu mrk blm jd suami isteri yg sah….kini kata suami mrk dh bernikah cara org jawa….sy sabar dgn perangai dan sikap suami sy….lps pada itu,sy terus keluar rumah tanpa kebenaran suami….beberapa hari slps tu…sy,mak,ayah dan adk sy dtg kerumah makmertua…sy minta kebenaran suami tuk tinggal di rumah lain bersama2 rakan sekerja….kini tinggal berasingan membuatkan hati dan perasaan sy tenang….dua belanja sy pn tidak diberikn…selama ini sy lh yg byk mengeluarkn kewangan tuk pelbagai perbelanjaan harian…hinggakn sy sanggup membuat loan di bank….tp tugas sy ditpt kerja jalan selancarnya….tiada maslah di tpt kerja…apa yg patut sy lakukn skrg?suami sy x beri kata putus lg….adakah sy blh membuat fasakh skrg?apakah syarat2 tuk membuat fasakh?

    • Salam,

      Alasan-alasan fasakh boleh dirujuk dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Sgor) 2003, seksyen 53.

      Seksyen 53. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh
      (1) Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu—
      (a) bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
      (b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
      (c) bahawa suami atau isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
      (d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
      (e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
      (f) bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
      (g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali Mujbirnya sebelum ia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
      (h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain—
      (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
      (ii) berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;
      (iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah;
      (iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu;
      (v) menghalang isteri atau suami dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya;
      (vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak;

      (i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
      (j) bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
      (k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguh pun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31/52] dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau
      (l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.
      (2) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri atau suami menjadi tak upaya yang menghalang persetubuhan.
      (3) Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1)(c) sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami atau isteri telahpun menjalani satu tahun dari hukuman itu.
      (4) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)(e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh satu tahun dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.

      (5) Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkahlaku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.

      Peguam Syarie

  10. Kes saya rasanya lebih teruk dari kes cikgu ini.Saya mengalami kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kaki kanan saya patah.Semenjak saya sakit,suami dah berlaku curang dengan perempuan lain.Rahsia mereka terbongkar apabila anak saya yang sulung menjumpai telefon bimbit ayahnya yang sedang berpeluk dan cium dengan perempuan itu di dalam bilik tidur anak kami.Semasa kejadian saya dengan anak2 berada di rumah mak mertua.Suami saya menceraikan saya atas desakan perempuan tersebut.Bayangkan 15 tahun pengorbanan saya terhadap dia,dibalas dengan tuba.Sepanjang 15 tahun,bahagian tubuh saya sepak terajang,penampar dia yang tidak pernah singgah ???
    Baru 2 bulan bercerai,nafkah anak-anak pun tak dibayar.Saya dengan anak-anak ditinggalkan begitu sahaja.Kalau nak tahu kisah lanjut boleh pergi ke facebook saya “Isteri Teraniaya”

  11. suami saya tidak pernah curang dan dia menjaga anak kami dgn baik namun yang menjadi masalah bagi saya adalah tanggungjawab dia sebagai suami. Sepanjang perkahwinan saya menbantu suami dgn bekerja dari kerani hingga dah menjadi eksekutif, perbelanjaan keluarga saya tanggung lebih lagi apabila menjelang raya, sekolah anak2 pendek kata serba serbi.. hingga saya pernah pinjam dari along. Apabila saya memberitahu saya mengalami masalah untuk membayar hutang, dia memamrahi saya dan menyatakan itu semua saya yang cari pasal kenapa nak melibatkan dia. Dia sudah berusia dan 18 tahun lebih tua dari saya, suami bekerja di kedai ikan bapa saya dgn gaji 30.00 sehari dan habis kerja stiap hari jam satu. Petang dia akan berehat dirumah bersantai mendengar muzik.Saya pernah menyarankan agar dia mencari sumber pendapatan kedua disebabkan masa yang dia ada dan gaji saya yang cukup2 untuk kami sekelaurga tanpa ada saving, dia tak mahu dgn alasan masa rehat dia akan terganggu. Saya buntu… saya letih dibebani masalah kewangan dari sehari ke sehari dan anak-anak makin membesar. Jiwa saya tertekan dan pada saat ini dah 13 tahun saya menanggung beban ini. Atas usaha saya membantu suami , tak pernah sekalipon dia berterima kasih, sikap yang bengis pada kami dan sering memaki saya dgn perkataan yang hina amat melukakan hati saya. Saya sering terfikir untuk melarikan diri dari suami tetapi kerana usia dia yang menjangkau 60an, bagaimana dia nak survive? . Cinta dan sayang saya dah lama hilang..apa yang tinggal hanya rasa tanggungjawab..dan sedikit sebanyak hal ini telah menjejaskan kerja saya di pejabat dan saya mula mengalami kemurungan. Saya rasa diri di aniaya dan terbiar. Suami tidak pernah menelefon apabila saya outstation 3-4 hari, tidak pernah call saya sepanjang saya bekerja bertanya kabar, dah makan belum?.. or any basic thing yang couple buat. Semua benda yang saya tulis ni pernah saya berbincang dgn dia dan mminta dia supaya berubah agar saya dapat menguatkan perasaan saya pada nya..tetapi selalunya perbincangn akan berakhir dgn jeritan dan makian dari dia.. kerana baginya saya isteri yang tidak tahu bersyukur. Tuhan dah berikan saya rezeki yang bertambah saban tahun sepatutnya saya bersyukur dan menjaga dia dan keluarga. Bagi dirinya, saya ibu yang tidak tahu menjaga anak kerana sentiasa tiada dirumah, dan isteri yang tidak bertanggungjwab. Saya benar2 ttekan.

  12. Isteri sy dibawa lari pakciknya pd 24.04.2013 td sehingga sekarang sudah masuk minggu ke 4 isteri masih tidak pulang..sy langsung xdibenarkan berjumpa isteri..pakciknya dia akan guna kekerasan jika sy cuba dtg ambil isteri..dh bermcm cara..handphone isteri dirampas makciknya dan dia dikurung..sbb itu sy hilang satu-satunya alat untuk menghubungi isteri..sdangkan abg kandung dan ayah selaku waris terdekat kepada isteri sy sendiri tidak dibenarkan berjumpa dan membawanya pulang.pada mlm kejadian itu msg terakhir dr isteri sy sblm hstnya dirampas merayu supaya sy sedaya upaya ambilnya dikampung.sdangkan sy dan isteri tiada masalah.kami diserang pakciknya bsama 6 org rakan dn salah seorangnya ahli pekida dan mereka memaksa dan mengancam sy utk membawa isteri balik kekampung..sedangkan tiada selisih faham antara kami dan kebetulan masa pakciknya menyerang rumah sy kami sdang menjamah makan mlm sambil menonton tv bersama dan mesra berbual.kini sy dan keluarga mengalami tekanan yg berat.sy hadapi bermcm tuduhan dr pakcik dn makcik isteri dn mereka memberitahu isteri sy tidak mahu lg hidup bsama.dan sy amat tekejut dan keliru dengan motif mereka.dr situ sy dapat tau isteri sy diugut dan dihasut kerana byk msg yg dihantar kepada sy,ibu sy dan abg ipar.kini setelah sekian hari..isteri sy semakin keliru dan seolah-olah dipukau atau disihir.syamat kecewa apabila sy buat laporan polis.pihak polis maklumkan mereka tidak blh menahan 6 org yg terlibat diatas ptuduhan menceroboh dn membawa lari isteri sy kerana ini dibawah kuasa syariah..dn pihak polis hanya boleh membantu untuk membawa isteri pulang kerana ini merujuk kepada majestret(syariah) itupun seandainya isteri mahu mengikut sy.sy berikan bukti dr pesanan ringkas dr isteri tetapi pihak polis tidak boleh lakukan sbarang tindakan andai isteri tidak mahu pulang dan perlu rujuk pd pejabatagama.sy skeluarga pergi berunding utk selesai secara elok.tp sy lngsung tdk dibenarkan bjumpa isteri dn pakcik bertegas utk tdk melepaskan jgk wlupun terpaksa gunakan kekerasan.sy amat tertekan dgn ketiadaan isteri dn terpaksa menanggung mcm2 fitnah dr jiran akibat kekecohan pd mlm kami diserang.berikutan hal itu sy sudah 3 minggu tidak bekerja dan telah byk habiskan duit utk usaha membawa isteri sy pulang..sy mohon pihak tertentu memberi pendapat dan langkah yg perlu diambil kerana ia melibatkan ahli pekida.sy merayu demi selamatkan rumah tangga sy sblm terlambat dn sy amat sayangkan isteri sy yang baru genap sebulan jalinkan perkahwinan.sudah bermacam-macam cara sy cuba untuk membawa isteri sypulang.sy telah isi borang5 jenayah syariah.dan sy ada meminta bantuan penguatkuasa untuk pergi membuat rundingan dn sy difahamkan van mereka ditahan dari masuk kekampung dan mengancam penguat-penguatkuasa tersebut dr teruskan niat mereka.dan berikutan hal itu sudah hampir seminggu lebih masih tiada apa2 tindakan susulan yang diambil.sy temui jalan buntu.sehubungan itu sy memohon kepada semua pihak berwajib bantulah sy selesaikan masalah ini.keadaan sy amat tertekan dan perlukan tindakan segera perlu diambil.sylangsung tiada cara untuk hubungi isteri.oleh sbb itu sy sendiri bertungkus lumuh meletakkan diri dalam bahaya dan sy cuba siasat sendiri motif sebenar mereka..dalam pencarian sy.ramai yg nyatakan pakcik isteri sy tersebut hanya berstatus bapa saudara tiri.dn hukumnya muhrim..situasinya disana hanya seorang tok yg sudah lumpuh dan 3org anak yg masih belum ckup umur dn masih belum matang dlm pendidikan agama dan seks..apakah yg perlu sy lakukan tindakan segera utk membawa isteri pulang dr terus hdup dlm kemaksiatan dn kembali taat pada suami.dimanakah hak seorg suami sdangkan sy telah melaksanakan tuntutan tuhan dengan cara yg sah.bagaimana pula sy sbg rakyat malaysia yg percaya kepada undang-undang sedangkan dgn mudah pesalah syariah tersebut terlepas sebarang tindakan.dan kejadian sebegini boleh mengubah perspektif golongan yg mahu mendirikan rumah tangga untuk menjalinkan hubungan secara sah sbg suami isteri.dimanakah ‘privacy’ sebuah keluarga islam.mohon maklum balas segera dr pihak berwajib dan sudi membantu sy sbg saudara sesama islam

  13. Thanks for some other informative web site. Where else may I am getting that kind of information written in such a perfect way?
    I’ve a challenge that I am just now running on, and I have been at the glance out for
    such info.


Komen Anda

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: