Posted by: Mama Farhah | Ogos 7, 2007

Berbulan-bulan tak tidur bersama kerana suami rimas bila didekati

SOALAN: Saya sudah berbulan-bulan tidak tidur bersama suami kerana dia menjauhkan daripada saya. Setiap kali saya mendekatinya dia merungut “panas, rimas dan jauh daripada aku, aku tidak boleh mendekati kamu.” Apabila saya mengajaknya berubat dia enggan, sebaliknya mendakwa saya yang sakit dan perlu diubati. Ramai pengubat yang saya temui mengatakan suami saya disihir. Jika benar, apakah yang perlu saya lakukan untuk mengatasi masalah ini yang semakin genting.

JAWAPAN OLEH DATO’ DR HARON DIN:

Masalah dalam rumah tangga memang banyak. Salah satu daripadanya berkenaan yang kisah yang puan paparkan. Permasalahan sebegini banyak berlaku dan saya selalu diadukan hal-hal seperti ini. Ramai ahli perubatan mudah menyimpulkan dan mengaitkan masalah ini dengan sihir. Bagaimanapun saya sendiri tidak pandai untuk mengatakan bahawa suami disihir kerana saya tidak mengetahui perkara yang sebenar.

Sebenarnya tiada orang yang boleh tahu ia adalah fenomena daripada sihir. Sihir memang wujud. Ia perkara ghaib. Nama atau istilah sihir itu sendiri bermakna sesuatu yang disembunyikan atau tersembunyi daripada orang ramai. Jika ia sihir, ia dilakukan secara sulit dan penuh rahsia. Jika ia rahsia, bagaimana para pengubat boleh mengatakan ia adalah sihir.

Jika pengubat berkenaan memberitahu bahawa suami puan terkena sihir, maka ertinya dia mengetahui perkara ghaib. Saya pernah menjelaskan dalam ruangan ini sebelum ini, bahaw insan mana pun tidak akan mengetahui perkara yang ghaib kerana Allah berfirman mafhumnya): “Katakanlah ‘Tiada sesiapapun mengetahui perkara yang ghaib sama ada yang menghuni langit atau bumi, melainkan Allah SWT sahaja…(hingga akhir ayat).” – Surah an-Naml ayat 65

Firman Allah (mafhumnya): “Allah sahajalah yang mengetahui segala yang ghaib, maka ada yang dizahirkan keghaiban itu kepada sesiapapun.” – Surah al-Jinn, ayat 26.

Dalam peristiwa lain dalam hadis sahih diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. disihir seorang Yahudi yang bernama Labeed bin al-A’ksam dan baginda sendiri tidak mengetahui disihir sehinggalah diberitahu oleh Jibril a.s. Jika Rasulullah s.a.w. sendiri tidak mengetahui disihirkan, bagaimana kita mudah-mudah mengetahui ada orang disihirkan?

Oleh yang demikian saya berfikir kes puan ada kaitannya dengan permasalahan suami isteri.

Ada kalanya saya bersetuju, apa yang dipaparkan ia ada kena mengena dengan sihir. Salah satu senario sihir seperti Firman Allah (mafhumnya): “…Dalam pada itu ada yang mempelajari ilmu sihir daripada Harut dan Marut, dengannya boleh menceraikan antara suami dan isteri…(hingga akhir ayat).” – Surah al-Baqarah, ayat 102.

Ayat ini jelas menunjukkan wujudnya ilmu sihir dan antara perkara yang boleh berlaku adalah (dengan izin Allah) memusuh, melaga-lagakan sehingga mencerai beraikan suami isteri.

Apa yang puan alami adalah kerengangan yang merosakkan fungsi perkahwinan. Seolah-olah telah hilang kemesraan dan kasih sayang sudah bertukar kepada permasalahan yang membawa keadaan yang tidak diingini. Kejadian seperti ini tidak semestinya daripada sihir perbuatan orang. Jika tidak kerana disihirkan pun, boleh terjadi kejadian sedemikian itu.

Mungkin antaranya adalah kerana suami berpenyakit mati pucuk (sebagai contoh), dia malu memberitahu isterinya, lalu bersikap dingin, menyalahkan orang lain, kononnya dia disihirkan. Atau, suami hilang minat kepada isteri di atas kelemahan-kelemahan isteri yang suami tidak tahu untuk mengatasinya dan tidak mahu membincangkannya. Atau, kerana perangai-perangai isteri yang keterlaluan hingga menyebabkan suami menyampah terhadapnya.

Atau dengan sebab-sebab lain seperti ada campur tangan pihak ketiga dan sebagainya yang menyebabkan suami hilang minat terhadap isteri, maka berlakulah perkara yang puan sebutkan tadi.

Saya tidak bermaksud untuk meletakkan hal-hal yang sedemikian itu berlaku kepada puan. Saya sekadar ingin mengajak puan dan semua yang berlaku kes seumpama ini pada diri mereka, melihat dahulu faktor-faktor fizikal melanda kehidupan kita. Sekalipun berlaku apa yang puan sebutkan itu, maka ubatilah masalah itu dengan bersungguh-sungguh tanpa melabelkan ia perbuatan sihir.

Ada kemungkinan bahawa hal seperti ini berlaku kerana gangguan syaitan yang tidak disuruh mana-mana atau dipergunakan ilmu sihir yang berinsusiasi dengan makhluk halus. Sememangnya syaitan itu musuh utama yang sentiasa berusaha memporak perandakan kehidupan anak Adam. Pun demikian tidak dikatakan sihir, walaupun tanda-tandanya semacam sihir.

Jika mudah-mudah dianggap sebagai sihir, ia menimbulkan satu lagi penyakit iaitu sakit hati kepada orang yang buat sihir. Lebih malang lagi jika ada yang menuding jari ‘si pulan itu membuatnya, si anu itu membuatnya’ atau lebih teruk mendakwa jiran, kawan sepejabat atau orang terdekat melakukannya.

Keparahan itu menyebabkan penyakit tidak terlerai, penyakit tidak disembuhkan. Apapun puan perlu cuba mengubati orang yang berpenyakit, cuba berjumpa orang yang diyakini boleh menolong, tiada penyakit yang tiada penawarnya. Sekurang-kurangnya puan dan suami berdoa ke hadrat Allah untuk disembuhkan, beramal dengan ayat-ayat al-Quran seperti yang tersebut dalam hadis-hadis sahih.

“Nabi menyuruh keluarganya beramal dengan membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas, ayat al-Kursyi dan lain-lain.” (Hadis riwayat A’ishah r.anha)
Atau puan dan suami boleh tambah membawa 11 ayat dalam Surah al-Baqarah, ayat 1, 2, 3, 4 dan 5, baca ayat 255, 256, 257 dan 284, 285 serta 286.

Berbuatlah demikian, lakukan cara yang disarankan oleh syarak untuk mengubati penyakit suami puan. Wallahu a’lam.


Responses

  1. mungkin terkena sihir atau pun mungkin lelaki itu 100% homoseks

    pegi jumpa pakar kaunseling… :))

  2. haha..erm..aku pn bnyk gak prob..tp sbb xkein g,xda la prob cm kt ats..huhu..sabar n tawakal ye kak..


Komen Anda

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: