Posted by: Fathi Yusof | Februari 4, 2008

Cari Menantu, Dapat ‘Hantu’

Menantu beri cek palsu

Oleh Fauzi Rahim Mustafa
fauzee@hmetro.com.my

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki sanggup menipu keluarga mentuanya dengan memberi cek tendang sebagai hantaran dan mas kahwin semata-mata mahu mengahwini gadis idamannya.

Lelaki berusia 23 tahun yang mengaku kontraktor perumahan itu bertunang dengan gadis berusia 21 tahun pada 21 Mei 2006 dengan hantaran RM7,574 atas persetujuan ahli keluarga bakal isterinya.

Ketika upacara akad nikah pada 24 Disember lalu di Masjid Permatang Berangan, dekat sini, gadis berkenaan hanya menerima cek bernilai RM2,000.

Bagaimanapun, cek itu tidak diterima bank apabila pihak keluarga gadis berkenaan cuba menunaikannya di sebuah bank di Guar Chempedak, sehari selepas majlis akad nikah.

Ibu gadis itu yang enggan mendedahkan namanya, berkata pihaknya menetapkan wang hantaran termasuk mas kahwin RM6,574 sebelum menantu berusia 23 tahun itu bersetuju menambah kepada RM7,574.

“Dia yang mendakwa kontraktor perumahan sekitar bandar ini mengabui mata keluarga saya dengan meninggikan hantaran dan mas kahwin yang ditetapkan.

“Kami menerima peminangannya sekali gus menetapkan majlis bersanding dan kenduri pada Jun depan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Agama Daerah Kuala Muda di sini, semalam.

Wanita itu juga berkata, pada majlis akad nikah, pihaknya berasa pelik kerana menantunya tidak ditemani keluarga lain seperti kebiasaan dilakukan masyarakat.

Ketika itulah lelaki berkenaan mengeluarkan sekeping cek RM2,000 dan bukannya jumlah yang dipersetujui sebelum itu.

Apabila bertanya, dia memberi alasan dirompak RM8,000 dan bakinya akan dijelaskan keesokannya.

Katanya, apabila gagal menunaikan cek berkenaan dan mendapatkan baki hantaran serta mas kahwin, menantunya dipaksa menjelaskan semua wang terbabit.

Namun, dia akhirnya diberitahu cek itu palsu.

“Menantu saya membuat pengakuan menipu keluarga saya ketika di rumah kakak sulungnya di Kampung Gelugor, Pulau Pinang, dengan alasan menyintai anak saya.

“Saya marah kerana dia sanggup menjadikan anak saya sebagai mangsa dengan menipu sejak awal perkenalan hingga bertunang dan seterusnya bernikah,” katanya yang kemudian tidak membenarkan anaknya tinggal sebumbung dengan menantunya.

Pada 15 Januari lalu, lelaki itu melarikan isterinya sebelum laporan polis dibuat keesokannya.

“Keluarga saya berusaha mencari anak saya yang dijumpai di Kampung Choras, Pendang, dekat Alor Star, seminggu selepas itu.

“Menantu saya sempat melarikan diri bersama sijil nikah dan kad pengenalan anak saya,” katanya.

Anaknya kini menuntut cerai taklik selepas dinasihatkan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda.

Ibu mangsa turut terkejut apabila dimaklumkan menantunya pernah menipu dua gadis dengan cara sama iaitu memberikan cek tendang.

Dia mendedahkan kegiatan menantunya kepada media agar dapat memberi peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati didatangi lelaki seperti itu.

—-

Bukan mudah nak cari menantu yang baik. Orang kita terlalu mudah percaya dengan janji material. Pantang nampak lelaki yang bergaya dan kelihatan kaya, terus terima. Ingatkan boleh jadi menantu, rupa-rupanya perangai macam hantu. Eloklah berbalik kepada pesan Rasulullah SAW– mengutamakan AGAMA mengatasi rupa paras, harta atau keturunan.

Seperkara lagi, sebaiknya disiasat dulu latarbelakang bakal menantu. Biar dapat maklumat sahih. Ni tidak. Pantang orang itu sanggup bagi hantaran tinggi, terus gelap mata. Ingatlah, para ibu dan bapa. Tanggungjawab kita ialah MENGAHWINKAN dan MENIKAHKAN anak-anak, bukannya MENJUAL. Usah letakkan mas kahwin terlalu tinggi. Biarlah berpada dan bersederhana.


Responses

  1. >memang zaman sekarang orang tua lebih memilih kekayaan daripada kejujuran
    >contohnya saya,ibu n ayah nk jodohkan dgn seorang lelaki kaya yang mereka sendiri tahu lelaki itu kaki perempuan n mabuk
    >sedangkan saya dh pun membawa seorang lelaki yang sederhana berjumpa mereka
    >ibu n ayah menolak mentah2 kerana mereka beranggapan saya tak akn bahagia dan hidup saya akn susah kalo berkahwin dengan lelaki yang tdk kaya

  2. huhu..takutnya….
    macam mana nak tahu lelaki tu benar2 mencintai kita…huk huk

  3. […] Itu jika sudah ada pilihan. Jika belum ada, usahakan lah dengan membuat tinjauan dan membuat senarai pendek secara sendirian. Kemudian, teliti dengan penuh hemah dan jangan lupa untuk bersolat istikharah. Jika kenalan dan maklumat terhad, mintalah bantuan dari rakan dan keluarga yang diyakini, berakhlak dan boleh diharap. Jika ada banyak pilihan, pilih lah yang memenuhi sifat yang pernah saya bincangkan dulu. Jangan pula terlalu gopoh sehingga tersilap pilih. […]


Komen Anda

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: