Oleh: Abi Muslih & Mama Farhah
Masa yang ditempuhi di alam kanak-kanak dan remaja amat berharga. Waktu inilah kepintaran, watak, sikap dan akhlak cepat berkembang. Aktiviti yang dilalui pada tempoh ini akan banyak memberikan kesan jangka panjang kepada hayat mereka seterusnya.
Oleh yang demikian, ibu bapa tidak boleh lari daari merancang dan menyusun aktiviti masa lapang. Pada dasarnya bagi anak-anak ini, waktu terluang oleh digunakan untuk aktiviti berikut:
Belajar atau mengulangkaji pelajaran secara aktif, berjadual dan bijak.
Membanyakkan ibadah seperti solat-solat sunat pada waktu siang dan malam.
Mengunjungi masjid atau surau untuk solat berjamaah serta menghadiri majlis-majlis ilmu
Mengikuti kem atau kursus kemahiran dan motivasi bagi meningkatkan semangat dan membaiki diri.
Melakukan aktiviti bersama-sama dengan keluarga termasuk ibu bapa seperti mengecat rumah, membersihkan halaman dan lain-lain.
Bermain dengan keluarga atau rakan-rakan. Pilihlah permainan yang boleh merangsang minda serta dapat mengeratkan hubungan sesama pemain.
Bersiar-siar bersama-sama seperti keluar membeli barang, menziarahi saudara-mara dan rakan dan menghadiri program-program kemasyarakatan
Bersukan dengan keluarga atau kawan-kawan
Melancong
Dr Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa kepuasan fizikal seseorang remaja boleh dipenuhi dengan ibadat solat kerana tiga faktor:
– solat merupakan riadah semulajadi. Orang yang menunaikan solat perlu menggerakkan anggota utama secara tersusun dan terselaras. Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan kecerdasan anggota badan, melancarkan pengaliran darah serta mengurangkan ketegangan otot-otot.
– Solat menuntut taharah, iaitu kebersihan bersifat fitrah. Orang yang ingin solat mesti bersuci dan berwudhu’. Wudhu’ dapat membersihkan anggota fizikal seperti hidung, mulut, muka, telinga, kepala, tangan dan kaki.
– Seseorang yang pergi menunaikan solat berjamaan di masjid atau surau akan berjalan lima kali sehari, pergi dan pulang. Secara tidak langsung ia dapat menyihatkan anggota badan.
Oleh yang demikian, para bapa terutamanya amat digalakkan mengajak anak-anak untuk bersama-sama mengunjungi masjid dan surau bagi menunaikan solat secara berjamaah. Ini adalah satu bentuk kaedah menggunakan masa lapang yang telah pun diajar oleh Rasulullah SAW. Baginda ada bersabda (riwayat Al-Hakim dan Abu Dawud):
“Suruhlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun, dan pukullah mereka untuk bersolat pada usia sepuluh tahun, dan pisahkan antara mereka pada tempat tidur”
Malangnya hari ini berapa ramai, ibu bapa yang leka kerana tidak pernah mengajak anaknya bersolat walau pun mereka sudah bersekolah. Mereka kadang-kadang berasa bahawa anak mereka masih ‘terlalu kecil’ untuk disuruh bersolat. Lupakah mereka bahawa apa yang disebut oleh Baginda itu datang dari wahyu Allah yang mengetahui kemampuan dan psikologi manusia. Ada yang beralasan bahawa mereka sudah menyuruh, tetapi tidak diendahkan oleh anak-anak. Soalnya bukanlah masalah keengganan anak-anak untuk mematuhi suruhan, tetapi masalah ibu bapa yang tidak bersungguh-sungguh menggunakan segala strategi terbaik bagi menjayakan usaha membiasakan anak-anak dengan solat.
Selain dari solat, Islam juga menggalakkan sukan, rekreasi dan pelancongan. Terdapat hadis-hadis yang menggalakkan sukan berkuda, memanah dan berenang. Ibu bapa boleh juga mengatur aktiviti sukan seperti permainan bowling keluarga, futsal dan badminton. Bagi anak-anak kecil, latihlah mereka menggunakan basikal dan berenang. Jika ada ruang bolehlah berkelah di kawasan jeram, sungai atau pantai. Bila tiba waktu cuti, jangan lupa untuk melancong sesama sekeluraga kerana ia adalah satu ibadah dalam usaha untuk mendidik anak di samping menghayati kebesaran Allah SWT.
Selain itu, ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk memantau penggunaan masa anak-anak. Perlu diketahui ke mana mereka pergi, dan apa aktiviti yang dilakukan. Pastikan aktiviti mereka bukan sahaja baik bahkan juga mempunyai menfaat untuk pembinaan peribadi mereka. Anak-anak termasuk remaja sebenarnya boleh didisiplinkan jika ia dilakukan dengan berhemah tapi tegas, lembut tapi konsisten.
Ringkasnya menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menjadikan agama sebagai teras dalam menggunakan masa terluang anak-anak. Anak-anak perlu disibukkan dengan aktiviti berguna agar syaitan tidak dapat ‘menyibukkan’ mereka dengan maksiat dan kelalaian. Panduan Islam amat mantap dalam menunjukkan laluan terbaik bagi memanfaatkan masa anak-anak yang amat berharga itu.
Susu
By: Tanpa Nama on September 14, 2010
at 11:24 pm