Posted by: Fathi Yusof | Mei 8, 2008

Anak-anak dan pengaruh kawan

Oleh: Abi Muslih & Mama Farhah

Kami masih belum ada anak remaja. Farhah baru di Tahun 3 (9 tahun). Muslih pula masih belajar di PASTI (6 tahun). Namun, apa yang dapat dikesan ialah kawan-kawan mereka sedikit sebanyak telah mempengaruhi mereka, sekurang-kurangnya cara mereka berbicara.

“Wow, banyak giler…” kata Muslih ketika melihat kakaknya melukis sesuatu. Perkataan ‘giler’ tu tak pernah saya guna untuk ekspresi begitu. Kini Muslih banyak gunakannya, berserta istilah-istilah slanga lain yang kami tak gunakan di rumah. Saya yakin, Muslih ‘belajar’ dari kawan-kawannya. Memang penggunaan perkataan tu tak mendatangkan apa-apa kesalahan. Cuma saya terfikir, betapa pengaruh kawan agak kuat untuk anak sekecil Muslih. Ini membuatkan kami perlu lebih beringat dan berhati-hati agar pengaruh yang tak elok tidak menjalar dalam rumah kami.

Antara faktor kegagalan dalam pendidikan anak-anak ialah kelekaan ibu bapa dalam memantau anak-anak berkawan dan memilih kawan. Pengaruh kawan amat kuat dalam menentukan perwatakan anak-anak. Kawan ibarat cermin. Perangai kawan menjadi perangai sendiri. Kesukaan kawan menjadi kesukaan sendiri. Jika baik kawannya, maka baiklah seorang itu. Jika kawannya jahat, maka dia pun akan mudah menjadi jahat.

Hakikat ini bukan rekaan, tetapi adalah suatu yang terbit dari lidah Rasulullah SAW sendiri yang bersabda: “Manusia itu sentiasa menurut kelakuan temannya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa yang dia berkawan dengannya.” (riwayat Tarmizi)

Dalam Hadis lain, Baginda Rasulullah SAW membuat perumpamaan yang cukup menarik. Sabda Baginda:
“Perumpamaan kawan yang baik dan kawan yang jahat ialah ibarat pembawa wangi-wangian dan tukang besi. Maka, bagi pembawa wangi-wangian, dia mungkin akan memberikan sedikit wangi-wangian kepada mu, atau, mungkin kamu membeli daripadanya, atau sekurang-kurangnya kamu dapat mencium bau yang harum dari wangi-wangiannya. Mana kala bagi tukang besi pula, dia mungkin akan membakar bajumu atau kamu mungkin akan mencium daripadanya bau-bauan yang busuk” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Satu lagi sabda Baginda SAW yang tepat dan padat: “Awaslah kamu berkawan dengan teman yang jahat, nanti kamu jadi jahat” (riwayat Ibnu Asakir)

Tegasnya, kawan itu sangat berpengaruh. Setiap orang perlu prihatin dengan kesan pengaruh kawan. Sebenarnya, Islam tidak pernah melarang kita berkawan, bahkan Islam adalah agama yang menggalakkan kita berkawan. Menjadi kera sumbang bukan anjuran Islam. Fitrah manusia pula memang perlukan teman dan kawan. Kawan bukan sahaja dapat melegakan jiwa dan perasaan, bahkan menjadikan kita matang dan lebih bertanggungjawab. Namun dalam kita berkawan kita perlu hati-hati dalam memilih kawan.

Kawan yang baik ialah kawan yang dapat sama-sama membimbing kita ke arah adab-adab yang mulia dan mendekati agama. Kawan sebenar ialah kawan yang menegur bila kita terpesong dan sedia ditegur bila dia melakukan silap. Tegasnya kawan yang baik ialah kawan yang membawa kita ke syurga.

Kawan ke neraka

Kawan yang jahat pula adalah kawan yang mengheret ke neraka. Berdasarkan beberapa kajian, antara faktor terbesar penagihan dadah di kalangan belia di Malaysia adalah kerana dorongan kawan. Begitu lah juga dengan gejala mat rempit dan mat gian. Semuanya gara-gara kawan.

Kawan yang jahat ini mengheret kawannya ke neraka tanpa disedari. Kadang-kadang mereka saling heret-mengheret. Masing-masing menjadi pendorong ke arah kejahatan antara satu sama lain. Jika nampak kawannya takut untuk melakukan benda-benda jahat dan lagha itu, dia akan memainkan peranan dengan mencabar dan mengherdik. Orang muda pantang dicabar. Maka lubang maksiat dan jenayah yang memusnahkan itu pun diterjuninya.

Kawan yang jahat ini tidak bermula dengan dadah, rogol dan rompak. Ia tidak bermula dengan zaman remaja. Ia bermula sejak tadika dan sekolah rendah. Di situ sudah ada kawan-kawan yang ‘jahat’. Jahat dalam erti mengajak kepada perkara-perkara yang lagha, maksiat kecil-kecilan, kedegilan, dan sikap memberontak.

Kanak-kanak adalah insan yang suci. Namun dalam diri dan kalbu mereka kadang-kadang terpalit sikap dan sifat negatif hasil salah didikan dan pencemaran budaya. Kanak-kanak yang membawa akhlak buruk begini boleh mempengaruhi kanak-kanak lain untuk melakukan perbuatan negatif.

Maka ibu bapa perlu hati-hati melihat kawan anak-anaknya sejak dari kecil lagi. Sejak dari PASTI, ibu bapa perlu memandu anaknya cara memilih kawan. Apa lagi bila remaja. Dorongan dan panduan berterusan perlu diberikan kepada anak-anak. Ingatan demi ingatan perlu diberi agar anak memilih kawan-kawan yang solih dan muslih.


Respon

  1. abc

  2. Askum…
    Memang benar pengaruh rakan sebaya amat memberi kesan kepada kanak-kanak yang sedang membesar. Adam (3 1/2 thn) amat cepat terikut perangai sepupunya yang berumur 5 thn. Sepupunya selalu menyebut perkataan2 yang pada saya agak kurang ajar bila ia keluar dari mulukt kanak-kanak. Terbaru 2 hari bersama sepupunya dia telah pandai menyebut ‘hotak mu’ ketika marahkan saya. Saya amat terkejut tanpa di sedari tangan saya sudah pun menampar pipinya. Agak sakit hati bila mendengar adam menyebutnya kerana saya seboleh-bolehnya mengelak dari menyebut perkataan2 yang agak kasar bunyinya. Sekarang saya lebih berhati-hati.


Komen Anda

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: