Seperti yang kami nyatakan pada minggu yang lepas, terdapat banyak e-mel dan komen yang mengadu tentang perangai suami yang tidak bertanggungjawab kepada para isteri. (Buat masa ini kami belum pernah menerima luahan hati para suami tentang masalah isteri). Masalah itu berkisar tentang perangai suami yang tidak bertanggungjawab.
Pada dasarnya berikut adalah tindakan-tindakan yang sesuai diambil oleh para isteri untuk merungkai masalah yang timbul:
Pertama: Cubalah berbincang dengan suami dengan cara baik dan penuh hikmah. Carilah masa dan tempat yang sesuai agar suami terbuka hati untuk berubah.
Kedua: Sekiranya nasihat atau kata-kata puan terhadap suami bagai mencurah air ke daun keladi, sebaiknya puan berusaha mendapatkan nasihat atau pertolongan daripada ahli keluarga lebih tua dan matang yang disegani suami. Individu itu mestilah seorang yang tidak memihak kepada mana-mana pihak, kata-kata dan nasihatnya didengar dan diterima oleh suami.
Ketiga: Jika usaha ini juga tidak berjaya, isteri boleh panjangkan perkara ini ke Bahagian Perundangan Keluarga Jabatan Agama Islam tempat puan tinggal. Biarlah pegawai kaunseling di jabatan berkenaan berjumpa dan menasihatkan suami. Kadangkala suami akan mendengar nasihat dan teguran yang dibuat pegawai kaunseling ini.
Keempat: Jika suami puan masih berterusan mengabaikan tanggungjawab seperti nafkah terhadap anak, isteri boleh mengemukakan tuntutan di Mahkamah Syariah supaya suami diperintahkan membayar nafkah anak dalam jumlah sewajarnya. Perintah pembayaran nafkah anak juga boleh dibuat dengan cara potongan gaji suami.
Kelima: Apabila segala ikhtiar gagal dan isteri tidak mahu lagi berada dalam ikatan perkahwinan, maka isteri boleh menuntut fasakh atau cerai taklik atas alasan pengabaian nafkah oleh suami terhadap dirinya.
Sepanjang masa: Banyakkan berdoa, sembahyang hajat dan memohon keampunan daripada Allah. Mudah-mudahan Allah membuka hati suami untuk menjadi suami yang baik yang akan dikenang baik sepanjang hayat oleh isteri dan anak. Kendurkan konflik, agar anak-anak tidak terjebak dengan suasama permusuhan dan suram.
sepatutnya ank itu perlukan lebih banyak didikan agama
By: Norazizah on Ogos 9, 2009
at 4:20 pm