Posted by: Fathi Yusof | Jun 8, 2008

Mus’ab Bin Umayr: Disinari Nur Iman

Oleh: Abi Muslih

Kisah Mus’ab bin Umayr al-Abdari r.a atau Mus’ab al-Khair. (siri 1)

Beliau adalah salah seorang sahabat besar yang disebut sebagai penghuni syurga. Antara yang terawal memeluk Islam, dan antara yang tinggi ilmu dan kefahamannya, namun gugur syahid dalam pertempuran Uhud.

Beliau adalah Mus’ab bin Umair, iaitu salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang sangat berjasa dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman.

Mus’ab lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang kaya dan mewah. Kedua ibu bapanya memberikan perhatian khusus dengan penuh kasih sayang kepadanya. Pada zaman mudanya, dia berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Baju dan kasutnya adalah antara yang paling mahal dipakai oleh pemuda-pemuda Quraisy. Kasut indah yang dibuat dari Yamanyang dipakainya, merupakan antara pakaian istimewa yang hanya dipakai oleh golongan yang tertentu sahaja.

Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus’ab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

Namun begitu, anak muda ini dikagumi dan dihormati oleh masyarakat Quraisy, bukan kerana perwatakan fizikal semata. Kebijaksanaan, tata susila dan kepetahannya menambat hati sesiapa sahaja. Daya ketajaman akalnya serta kepimpinannya menjadikan anak muda yang layak untuk duduk bersama-sama dengan pemimpin besar Quraisy dalam membincangkan soal pentadbiran bumi Makkah. Kedudukan ini menjadikan dia mengetahui selok belok pemerintahan Makkah dan memahami latar budaya serta tabiat penduduk dan pemimpinnya.

Apabila bumi Makkah digemparkan dengan kehadiran Muhammad bin Abdullah SAW yang membawa ajaran ‘baru’, Mus’ab secara diam menanam hasrat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Dia mendapat tahu bahawa Muhammad dan pengikutnya selalu berkumpul di sebuah rumah berhampiran bukit Safa iaitu rumah al-Arqam, bagi mengelakkan gangguan pemimpin Quraisy. Bagi memenuhi perasaan ingin tahu, Mus’ab memberanikan diri menghampiri rumah itu walau pun dia mengatahui ancaman pemimpin Quraisy. Di situ dia melihat Rasulullah SAW sedang mengajar beberapa orang sahabat, membaca ayat-ayat al-Quran dan menunaikan solat.

Menyedari kehadiran Mus’ab, Rasulullah SAW menjemputnya masuk dengan terhormat. Gerak laku Baginda yang sangat mulia serta kelembutannya menghulurkan tangannya itu telah melembutkan perasaan Mus’ab. Dia merasakan satu limpahan kedamaian yang tidak terhingga menyelinap dalam sudut kamar hatinya. Setiap butir kalimah yang keluar dari mulut Baginda begitu menyentuh perasaannya. Ayat-ayat suci al-Quran yang diperdengarkan itu menjadikan dirinya terpaku dan terpesona.

Maka, dengan pertemuan pertamanya dengan Rasulullah itu, Mus’ab telah membuat satu keputusan yang besar iaitu menerima Islam sebagai agamanya. Mus’ab yang terkenal dengan kewibawaan dan keindahan budi itu akhirnya mengisytiharkan keislamannya dihadapan Rasulullah SAW.

Mus’ab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila ibunya iaitu Khunnas binti Malik begitu marah selepas mendapat tahu Mus’ab telah menganut Islam.

Khunnas, seorang ibu amat mengambil berat, namun amat tegas dan mengawal aktiviti anaknya. Mus’ab tidak gentar dengan pemimpin-peminpin Quraisy, namun dia agak khuatir dengan reaksi ibunya yang terlalu tegas dan berkuasa. Maka diperingkat awal, Mus’ab menyembunyikan keislamannya agar tidak disedari oleh ibunya. Namun usaha itu tidak dapat bertahan lama kerana mata dan teliga musyrikin Quraisy sentiasa memerhatikan kegiatan Rasulullah dan para muslimin.

Seorang perisik kepada pemimpin Quraisy yang bernama Uthman bin Talhah berjaya mengintip Mus’ab yang secara diam mengunjungi rumah al-Arqam. Kemudiannya, Uthman bin Talhah telah melihat Mus’ab bersolat, serupa dengan cara solat Muhammad SAW. Maka, dia yakin bahawa Mus’ab telah mengikut ajaran Muhammad. Justeru itu, dia memaklumkan kepada semua pemuka Quraisy tentang berita menggemparkan itu. Akhirnya berita keIslaman Mus’ab sampai ke telinga ibunya.

Apabila didesak untuk berterus-terang, Mus’ab memanggil para pemimpin Quraisy, penduduk Makkah dan juga ibunya untuk mendengar penjelasannya. Dengan penuh ketenangan, keberanian dan keyakinan, Mus’ab bangun menjelaskan sebab-sebab keIslamannya. Dia kemudiannya membacakan ayat-ayat al-Quran yang indah kepada semua yang hadir.

Apabila mendengar sendiri pengakuan keIslaman Mus’ab, ibunya naik berang dan hampir-hampir memukul Mus’ab. Namun cahaya ketenangan yang terpancar pada wajah Mus’ab menyebabkan ibunya rasa terhalang untuk melakukannya.

Akhirnya, ibunya telah memilih untuk mengurung dan mengikatnya di satu sudut rumah. Si ibu itu juga menyeksa Mus’ab selama beberapa lama dengan harapan dia akan meninggalkan Islam.

Mus’ab diikat dan dikurun sekian lama. Penyeksaan yang dialaminya itu turut sama dihadapi oleh penganut Islam lain diperingkat awal dakwah di Makkah. Bagi mengurangkan tekanan ke atas sahabat, Rasulullah mengarahkan sebahagian dari mereka untuk berhijrah ke Habsyah bagi mendapat perlindungan di sana. Mus’ab yang mendengar berita tersebut, mencari peluang untuk bolos dari kurungan dan menyertai rombongan berkenaan. Pada suatu hari, ketika orang yang mengawalnya terleka, Mus’ab berjaya memboloskan diri dan secara diam menyertai sahabat lain merentasi Laut Merah berhijrah ke Habsyah.

Di Habsyah, Mus’ab dan sahabat lain mendapat perlindungan politik dari Raja Najashy. Namun masing-masing berasa rindu untuk bersama-sama dengan Rsulullah di Madinah. Apabila mendapat berita bahawa keadaan di Makkah semakin aman dan tekanan makin kurang, maka Mus’ab dan sebahagian sahabat memutuskan untuk pulang ke Makkah.

Walau bagaimana pun, setiba di Makkah mereka mendapat tahu bahawa berita tersebut tidak tepat kerana tekanan ke atas penganut Islam masih kuat bahkan lebih hebat lagi. Oleh yang demikian, sekali lagi Mus’ab kembali berhijrah ke Habsyah bagi menghindarkan diri dari tekanan. Beliau berada di Habsyah buat kali kedua selama beberapa tahun.

Apabila mendapat maklumat yang sahih bahawa keadaan di Makkah semakin baik dan kaum muslimin semakin ramai dan kuat, maka Mus’ab dan para sahabat kembali ke Makkah. Setiba Mus’ab di Makkah, beliau mengunjungi ibunya yang masih tidak serik memujuk dan mengancamnya. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan dan tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Mus’ab. Bahkan kali ini Mus’ab bertegas bahawa, dia akan menggunakan kekerasan kepada orang suruhan ibunya jika dia diikat sekali lagi.

Akhirnya ibunya mengaku kalah dan mengambil keputusan membiarkan Mus’ab dengan Islamnya. Ibunya tidak lagi mengaku bahawa Mus’ab itu anaknya. Sikap ibunya yang keras itu tidak melemahkan semangat Mus’ab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana kasih pada ibunya. Mus’ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Ibunya pula masih tetap mencuba memujuk Mus’ab supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Mus’ab yang bernama Al-Rum untuk memujuknya. Namun Mus’ab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, Al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya.

Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesu. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya.

Tindakan ibunya itu tidak menggoncangkan imannya walau sedikit pun, bahkan Mus’ab berkata kepada ibunya: “Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”.

Apa lagi, lemahlah siibu mendengar jawapan si anak. Dengan jawapan tersebut juga, Mus’ab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah Mus’ab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu. Bagi meneruskan kehidupannya, Mus’ab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah walau pun kerja yang kasar.

Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Mus’ab. Adik-beradik Mus’ab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Mus’ab tetap mempertahankan keimanannya.
Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Mus’ab sering disebut-sebut oleh sahabat:

“Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya”.

Demikianlah latar kisah Mus’ab bin Umair, seorang sahabat yang hebat dalam menyampaikan Islam dan perjuang pada jalannya. Insyaallah, kisah Mus’ab selanjutnya iaitu berkaitan kegiatan dakwah di Madinah dan jihadnya dalam pertempuran Uhud, akan kami paparkan kemudian.


Komen Anda

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: