Farhah dan Muslih seperti kanak-kanak lain, memang suka menonton TV. Kami terpaksa mensyaratkan mereka hanya boleh menonton dua cerita dalam satu hari. Selalunya mereka memilih rancangan TV9 seperti SpongeBob dan My Life as a Teenage Robot. Rancangan yang jelas bermanfaat seperti Mari Mengaji (Bertarannum) memang kami galakkan tanpa mengira kuota tadi. Alhamdulillah setakat ini mereka patuh pada disiplin tu.
Memang sukar mendisiplinkan anak dalam soal TV ni. Tambahan pula tarikannya amat kuat. Antara mengaji al-Quran dan menonton Doremon: tentunya mononton Doremon lebih memikat dan menarik bagi kanak-kanak. Cabaran ibu bapa hari ini amat kuat untuk mempengaruhi anak tentang batas-batas tontonan.
Hari ini ramai remaja dan anak-anak menjadi rosak akibat media yang menghancurkan. Manusia yang jahat menjadikan media sebagai alat untuk mengaut untung dengan mengorbankan masa depan umat manusia. Anak-anak yang asalnya suci bersih, menjadi punah jiwanya dan kotor akalnya akibat penangan media bobrok ini.
Media-media ini membawa seribu macam mesej songsang dan merosakkan. Paling banyak ialah bahan-bahan yang berunsur lucah, dengan aksi seks dan memperdagangkan tubuh manusia. Syahwat remaja yang sememangnya mekar itu diumpan dengan paparan berunsur seks tanpa batasan agama yang memandunya. Tidak kurang media yang ‘menjual’ elemen-elemen ganas sehingga menerapkan minda samseng dan memberontak pada hati anak-anak muda. Para remaja juga dihidangkan sepuas-puasnya dengan segala jenis hiburan yang melimpah ruah dalam segenap bentuk media. Bahan yang kebanyakannya bersumber dari budaya Barat yang merosakkan itu semakin banyak menyelinap masuk dan seolah-olah mula berakar umbi dalam sosio budaya remaja muslim di sebelah sini.
Langit terbuka, maksiat melata
Hari ini kita hidup zaman teknologi maklumat. Media datang dalam berbagai bentuk dan dengan berbagai rupa. Baik dalam bentuk bertulis, gambar, imej bergerak, dan bercetak. Bahkan di zaman digital yang semakin meluncur laju ini, ada juga media berbentuk tiga dimensi dan interaktif seperti game komputer dan seumpamanya. Akibat tumpulnya kesedaran agama, kebanyakan filem-filem hari ini sekadar memenuhi nafsu remaja bagi menaikkan jualan tiket.
Amat susah untuk bertemu dengan filem yang mendidik. Demikian juga drama dan rancangan-rancangan televisyen. Bahkan, tak cukup dengan itu filem, dan teledrama dari Barat termasuk Amerika Latin pula diimport untuk menjaja cara hidup mereka yang busuk dan hanyir itu.
Selain dari itu, media internet menawarkan sesuatu yang lebih dahsyat. Sesuatu yang tiada batas, tiada sempadan. Apa yang dihajati remaja boleh dicapai dengan mudah. Pada skrin komputar yang tidak bersalah itu, semua gambar boleh terpapar. Wanita bogel, aksi ranjang, seks songsang atau apa sahaja, boleh diperolehi. Baik dalam bentuk gambar, video, cerita-cerita merangsang atau permainan komputar. Begitu juga aksi ganas, dan tidak berperikemanusiaan. Segala-galanya tersedia dengan banyak, dan melambak-lambak serta mudah dicapai.
Hari ini media perosak bukan sahaja berada di meja komputer atau di rak-rak kedai majalah, bahkan menjalar masuk dengan berleluasa dalam poket anak-anak. Tidak sedikit remaja yang memiliki telefon bimbit. Dalam alat komunikasi itu kadang-kadang tersimpan bahan-bahan lucah dan merosakkan iman. Bahan-bahan begini kadang-kadang dirakam sendiri atau diperoleh dengan cara mudah dari kawan-kawan menggunakan teknologi yang semakin hari semakin canggih.
Bahkan, menjadi satu trend pula, ada anak-anak muda yang terlibat dengan agedan lucah ini tanpa segan silu menyebarkan aksi kepada rakan-rakan dan menyiarkannya di internet. Tindakan begini bukan sahaja menjatuhkan harga diri manusia bahkan menambahkan lagi bahan-bahan perosak dalam dunia siber.
Realitinya, media termasuk media cetak, filem mahu pun internet tidak bersalah. Manusia yang jahat dan perosak yang menyalahgunakan media ini untuk memuaskan hawa nafsu disamping mengaut keuntungan dari kepunahan moral manusia termasuk anak-anak. Kecanggihan teknologi yang berkembang laju ini menuntut ibu bapa meningkatkan paras kepekaan dan kewaspadaan dalam mendidik anak-anak.
Hari ini bukan seperti dulu. Segala-galanya mudah dicapai. Yang baik dan yang jahat, sama-sama terhampar dan terdedah kepada sesiapa sahaja. Memanglah sukar untuk mengawal dan memantau, namun paling tidak ibu bapa perlu berikhtiar dengan cara berbaik bagi menghadapi cabaran getir ini.
Moga kami dan anda semua terus teguh dalam mendidik anak dalam era yang penuh cabaran ini.
ya saya bersetuju ngan apa yg dicakapkan oleh abi muslih tu…bagi anak saya pun begitu…memang mereka tidak berganjak kalu tengok “pingu”
Tp saya kira bersyukur sebab mereka ni juga suka kpd program keagamaan – cd: mari mengaji
By: musafir sufi on Jun 29, 2008
at 11:07 pm
there are some part of it I disagree…
selebihnya, perlu pengubah suaian dr segi pemahaman akal dan sedikit daripadanya adalah kebenaran yg dipetik dari ajaran Allah (islam). Maaf klu sy slh, ni cuma pemahaman sy, bagi sy berfikir secara luas dan bebas lebih baik dari menyempirkan fikiran dgn ‘hanya agama’ dan menyekat akal dari memasuki alam lain untuk mencari kebenaran kerana ‘takut sesat’. Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya tersesat dalam keadaan untuk kembali.
By: eyo on Jun 30, 2008
at 10:24 am