Posted by: Fathi Yusof | November 19, 2008

Kemiskinan boleh jejaskan pendidikan anak-anak

Antara faktor kepincangan dalam pendidikan anak-anak adalah kerana berlakunya kesempitan hidup yang melampau. Sebenarnya kesempitan hidup tidak semestinya menyebabkan ibu bapa tidak dapat mendidik anak dengan baik.

Banyak anak-anak dari golongan fakir yang berjaya dan soleh. Ibu bapa mereka berjaya mendidik dengan baik walaupun mempunyai kemampuan material yang terbatas. Namun tidak dinafikan, hakikat kesempitan hidup dan pengangguran sedikit sebanyak boleh menjejaskan kestabilan keluarga dan pendidikan anak-anak.

Menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam buku Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, kemiskinan yang menyelubungi keluarga boleh menyebabkan anak-anak rasa terhimpit dan lantas terlibat dengan gejala-gejala negatif.

Ada di kalangan anak-anak remaja mendapati rumahnya tidak selesa untuk didiami, terlalu sempit dan sesak, makanan yang terhad dan kurang menyelerakan; maka dia mencari jalan keluar untuk mendapatkan kemewahan itu.

Pada saat begini, dia mudah terjebak dengan gejala-gejala bruk yang boleh merosakkan masa depannya. Bahkan lebih jauh lagi, dia mungkin akan terbabit dengan jenayah.

Selain itu, pengangguran dikalangan bapa juga memberi kasan besar kepada anak-anak. Bapa yang tidak bekerja tidak mempu menyara anak-anak lantas menyebabkan keluarga menjadi porak peranda dan pincang. Bahkan dalam kes-kes tertentu, bapa-bapa yang menganggur ini mudah pula terjebak dengan kerja yang sia-sia dan jenayah.

Menurut Dr. Abdullah Nasih, keadaan ini tentunya mendorong anak-anak untuk mengikuti jejak langkah si bapa. Atau, mungkin juga di anak itu terpaksa berusaha mengambil tempat bapanya untuk mencari nafkah. Jika ini berlaku, anak-anak tadi tidak berpeluang untuk mendapat pendidikan yang mencukupi untuk menjadi seorang yang berjaya.

Islam amat mengambil berat soal pengukuhan social umatnya. Syariat Islam bukan sahaja menyeru manusia bekerja kuat, bahkan mempunyai elemen-elemen sokongan untuk membasmi kemiskinan. Islam meletakkan asas yang kukuh agar kekayaan diagihkan dengan adil dan golongan yang fakir atau miskin sentiasa terbela.

Islam yang mengutamakan kesaksamaan, menyariatkan zakat serta menggalakkan sedekah agar mereka yang berada terdorong untuk menghulurkan bantuan kepada yang susah.

Islam amat menggalakkan umatnya agar melindungi dan membantu mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan miskin, anak-anak yatim, janda serta orang-orang yang terlalu tua atau sakit dan tidak mampu menyara hidup.

Ganjaran yang amat besar dan berganda-ganda dijanjikan kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan iklhas kepada mereka. Jika umat Islam menghayati galakan Islam yang hebat ini, nescaya sitiap pihak yang kurang bernasib baik pasti terbela.

Di samping itu Islam juga meletakkan tanggungjawab kepada pemerintah untuk memastikan golongan yang tidak punya kemampuan kewangan yang baik ini dibantu. Bantuan itu sama ada dalam bentuk menyediakan peluang pekerjaan, bantuan pendidikan anak-anak atau bantuan sara hidup.

Menurut Dr. Abdullah para pemerintah mempunyai kwajipan untuk menyediakan pekerjaan kepada rakyatnya.

Dalam satu peristiwa pada zaman Rasulullah SAW, Anas RA meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki dari kalangan Ansar datang kepada Rasulullah SAW, lalu baginda bertanya: Tidakkah ada sesuatu di rumah mu?. Lalu dia menjawab: Ada, pakaian yang kasar, setengahnya kami pakai dan setengahnya lagi kami hamparkan, dan bekas yang kami minum air dengannya. Berkata Nabi SAW: Bawakan keduanya kepada ku!. Orang itu pun mengambil kedua-dua barang itu kepada Baginda. Maka Rasulullah mengambil barang itu dengan tangannya, lalu ditunjukkan untuk dijual, dengan berkata: Siapa mahu membeli dua barang ini? Seorang menjawab: saya mahu membelinya dengan dua dirham. Maka Nabi pun menjualkannya dengan dua dirham, lalu memberikan wang jualan itu kepada orang Ansar tadi. Rasulullah SAW berpesan: Beli makanan satu dirham dan segera kembali dan berikannya kepada isterimu. Dan gunakan satu dirham lagi untuk membeli kapak, dan bawanya ke mari. Ornag Ansar itu membeli kapak dan membawanya kepada Rasulullah SAW. Baginda memasang kayu pada kapak itu lantas menyatakan: Ambil kapak ini, dan pergi cari kayu, kemudian jual, dan jangan datang lagi selepas lima belas hari. Arang Ansar itu patuh kepada arahan Nabi. Selepas lima belas hari dia pun datang dengan sepuluh dirham yang sebahagiannya dia dapat membeli pakaian dan sebahagiannya untuk makanan. Lalu sabda Nabi SAW: Cara begini adalah lebih utama bagi mu daripada meninta-minta, sebab meminta-minta itu meninggalkan tanda di muka mu di akhirat nanti.

Kewajipan untuk membantu mereka yang susah dan tidak mempunyai pekerjaan membuktikan Islam amat mengambil berat soal keharmonian keluarga. Institusi keluarga hanya akan berfungsi dengan baik jika keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat perlindungan dapat disediakan dengan baik. Menurut riwayat Muslim, daripada Abu Said Khudri, sesungguhnya Baginda Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang mempunyai kelebihan harta, hendaklah diberikannya kepada sesiapa yang tidak ada harta. Dan barangsiapa yang mempunyai kelebihan makanan, hendaklah ia memberikannya kepada siapa yang tidak ada makanan.

Dalam hadis yang lain, menurut riwayat Al-Tabarani dan Al-Bazzar, Baginda SAW bersabda:

Maksudnya: Tidak beriman kepada ku siapa yang tidur kenyang sedangkan jirannya di sebelah lapar, dan dia tahu yang demikian itu.

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa, Islam mempunyai mekaniska tersendiri untuk membantares kemiskinan. Tangyungjawab bukan sahaja diletakkan kepada diri bapa dan ibu untuk berusaha mencari rezeki, bahkan juga kepada anggota masyarakat untuk saling bantu membantu antara satu sama lain. Pemerintah juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan rakyat hidup dalam keselesaan serta mampu memenuhi keperluan-keperluan asas.

Tegasnya, Islam amat mengambil berat soal kestabilan dalam ekonomi keluarga. Sebuah keluarga yang kukuh ekonominya akan mampu melahirkan anak-anak yang seimbang dan terdidik. Tambahan pula realiti hari ini yang menuntut semua pihak untuk mempunyai kekuatan material disamping keperluan asas lain dari sudut kerohanian, ilmu dan kasih sayang.

Walaupun harta bukan jaminan kepada kejayaan pendidikan anak-anak, namun ia sekurang-kurangnya dapat mengelakkan kemelaratan dan kesempitan yang mengkin menjerumus anak-anak ke lembah kerosakan akhlak.


Komen Anda

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: