Posted by: Fathi Yusof | Januari 10, 2011

Didik Anak Jadi Pejuang

“Israel tu jahat ke, mama?” tanya Zaki kepada ibunya.

“Ya, Zaki. Israel memang jahat. Dia halau orang Islam Palestin. Lepas tu dia bunuh orang Islam yang lawan.” Jawab ibunya dengan tenang.

“Ooh”, jawab Zaki. “Zaki perasan tak tengok iklan McD kat TV”, tanya si ibu.

“Ya Mama, Zaki ada tengok”, kata Zaki.

“Tahu tak, kalau kita makan dekat McD bermakna kita tolong beli peluru kepada Israel untuk tembak orang Islam” terang Mama.

“Kenapa pula, Mama” Tanya Zaki dengan wajah hairan.

“Macam ni. Duit yang kita bayar tu sebahagiannya diberikan kepada Israel. Lepas tu Israel gunalah untuk beli senjata bunuh orang Islam”, jawab si ibu dengan bersemangat.

“Ooh, baru Zaki faham” kata Zaki sambil mengangguk kepala.

Demikianlah perbualan seorang ibu dengan anaknya. Pernahkan anda bercerita demikian dengan anak-anak? Pernahkah anda jelaskan kepada anak-anak tentang masalah ummah? Masalah-masalah seperti penindasan dan penderitaan umat Islam. Anak-anak sememangnya amat perlukan pendedahan awal tentang masalah ummah. Agar mereka menjadi cakna ummah sejak dari kecil.

Hero khayalan

Mungkin anda berfikir bahawa anak-anak anda masih kecil untuk didedahkan dengan perkara-perkara yang besar ini. Anda juga mungkin berfikir negatif dengan menganggap soal ini adalah terlalu berat untuk dilonggokkan dalam minda anak-anak. Tanggapan ini jelas silap. Anak-anak sejak dari kecil sudah boleh didedahkan dengan soal-soal masalah ummah. Jika anda tidak mulakan dari sekarang untuk mengisi mindanya dengan soal yang penting ini, kelak mindanya akan dipenuhi dengan perkara-perkara lain yang tidak berfaedah.

Hari ini anak-anak cukup mudah diulit dengan hero-hero khayalan, serta ‘perjuangan’ palsu yang dipropaganda oleh televisyen dan permainan komputer. Minda dan ilusi bercampur baur antara kenyataan dan kepalsuan. Potensi akal mereka yang segar lagi bersih itu dibebankan dengan watak-watak hero palsu seperti Ultraman, Superman, Batman; serta watak-watak ilusi seperti Spongebob, Miki, Doraemon, Shrek dan pelbagai lagi. Akhirnya perilaku watak-watak ini yang diolah melalui kaca televisyen mempengaruhi minda, sikap dan tindakan anak-anak kita. Anak-anak menjadi ‘pejuang’ di medan khayalan dengan misi mustahilnya untuk mencapai imiginasi pencipta watak-watak palsu itu. Alangkah indahnya jika potensi perjuangan anak-anak itu dihalakan kepada realiti dan tuntutan perjuangan sebenar untuk memartabatkan agama dan maruah ummah.

 

Biar berhikmah

Oleh sebab itulah, anda perlu yakin bahawa anak-anak sebenarnya sudah bersedia untuk menghayati konsep-konsep perjuangan, jihad, dakwah dan pengorbanan sejak dari kecil lagi. Cuma soalnya ialah bagaimana kaedah penerapan dan pendedahan itu dibuat.

Sebelum anda melangkah lebih jauh, perlu anda memahami realiti kemampuan anak-anak memahami konsep perjuangan:

• Anak-anak gemar proses penghayatan berasaskan personaliti yang boleh menjadi ikon dalam kehidupan. Konsep hero dan heroin amat penting bagi anak-anak. Hero perlu punya segala macam kehebatan yang membanggakan, dan akhirnya berjaya menumpaskan kebatilan. Oleh itu pendekatan ketokohan ini perlu diserap melalui menghayatan tokoh-tokoh pejuang Islam seperti para Nabi dan Rasul serta para sahabat dan ulama. Mereka perlu dipaparkan sebagai hero yang ulung dan disanjung.

  • Anak-anak lebih cepat menguasai sesuatu penerangan yang bersifat hidup iaitu yang ada gambar, pergerakan dan suara berbanding dari penerangan bertulis atau lisan semata-mata. Maka bahan-bahan berguna berbentuk multi-media seperti tayangan, animasi dan seumpamanya amat sesuai untuk menjadi bahan tatapan anak-anak untuk memahami perjuangan. Contohnya, filem animasi perjuangan Nabi Muhammad dapat menjadi bahan pelajaran buat anak-anak menghayati perjuangan Baginda.
  • Anak-anak akan lebih menghayati erti perjuangan jika ia dikaitkan dengan apa yang dilalui seharian. Ertinya ibubapa perlu sentiasa mengambil peluang mengaitkan soal perjuangan, dakwah dan masalah ummah ketika makan, bermusafir, ke sekolah, beriadhah, menonton televisyen dan lain-lain. Di sini memerlukan keprihatinan dan kreativiti ibu bapa.
  • Anak-anak kebiasannya menilai dunia ini mempunyai dua realiti yang bertentangan: putih dan hitam, baik dan jahat, kebenaran dan kebatilan. Ibubapa perlu berhati-hati agar anak-anak tidak terkeliru. Kadang-kadang sesuatu perkara terpaksa dihuraikan dengan lebih mendalam bagi membantu mereka melihat dari perspektif yang lebih adil. Dari saat ini jugalah nak-anak sudah boleh mengenali musuhnya yang mengancam Islam dan umat Islam.
  • Anak-anak sukakan kisah-kisah teladan dan cerita. Berceritalah dengan anak-anak tentang tokoh-tokoh pejuang Islam, para pendakwah dan syuhada’ sepanjang sejarah panjang perjuangan Islam.
  • Anak-anak mempunyai kemampuan akal yang cerdas dan mampu menanggapi persoalan yang sulit, jika disampaikan dengan cara mudah. Maka ibu bapa perlulah bersedia untuk mendedahkan anak-anak dengan perjuangan melalui penyampaian berkesan dan berterusan.

Anak-anak yang cakna dengan masalah ummah dan menghayati perjuangan Islam akan lebih matang, bijak, punya matlamat hidup yang jelas dan berketrampilan di kalangan rakan sebaya. Mereka tidak akan mudah terjebak dengan dunia khayalan dan hiburan tanpa batas. Mereka juga mudah untuk didorong untuk belajar kerana mereka sudah mempunyai gambaran asas tentang matlamat hidup di atas muka bumi Allah ini. Selain itu, sifat-sifat keprihatinan dan cakna ummah ini menjadikan mereka mudah untuk menghulurkan bantuan kepada orang lain dengan penuh keinsafan dan kesedaran.

Penonton bisu

Rasulullah SAW sendiri membuktikan bahawa Baginda telah membentuk cakna ummah di kalangan anak-anak muda yang mendokong perjuangan Baginda. Sayyidina Ali KWJ contohnya, telah diajak oleh Rasulullah untuk menggalas beban dakwah dan perjuangan sejak beliau masih diawal remaja lai. Demikianlah sahabat-sahabat kanak-kanak seperti Rafi’ bin Khudayj dan Samurah bin Jundub yang berjaya menyertai misi perjuangan Uhud setelah berusaha sedaya upaya memujuk Rasulullah SAW. Bahkan ramai kanak-kanak lain yang turut bersemangat untuk mengikutinya tetapi diminta pulang oleh Rasulullah kerana masih terlalu muda. Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa kesedran jihad dan perjuangan ini telah ditanam oleh Rasulullah SAW ke dalam hati anak-anak muda sejak mereka kanak-kanak lagi.

Hari ini, dengan keadaan umat Islam ditindas di Palestin, Chechnya, Eropah dan di bumi lain, kesedaran perjuangan amat mustahak. Penghinaan kepada Allah, Rasulullah dan agama Islam perlu kepada kesedaran dan pengorbanan generasi umat Islam. Jika kita lalai untuk meniupkan kesedaran cakna ummah ini, tidak mustahil anak-anak kita nanti hanya menjadi penonton bisu dan pekak kepada serius macam polemik yang menimpa ummah.

Tegasnya, anak-anak hari ini menentukan masa depan Islam dari esok. Membina cakna ummah perlu bermula saat mereka masih muda, agar minda mereka yang segar itu dihiasi dengan kesedaran beragama dan disirami dengan semangat perjuangan Islam. Membina cakna ummah akan lebih mudah dan lancar jika ibu bapa sendiri terlibat dalam perjuangan Islam. Anak-anak akan cepat belajar kerana ibu bapa mereka menjadi contoh di depan mereka. Maka, alangkah ruginya jika ibu bapa sibuk dengan urusan kehidupan duniawi tanpa melibatkan diri dalam perjuangan mengangkat agama Allah SWT.

Selamat membina cakna ummah dalam diri anak-anak, moga anak anda menjadi pejuang ulung esok nanti!

Abi Muslih.


Komen Anda

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: