Posted by: Fathi Yusof | Oktober 25, 2014

Berkongsi Kasih Kerana Poligami

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya ni wanita yang dah berusia 40 tahun. Anak-anak saya dah besar panjang, ada yang sudah masuk universiti. Masalahnya ustaz, suami saya ni tiba-tiba beritahu saya yang dia hendak kahwin lagi. Saya rasa macam dunia ni nak kiamat. Saya tak rela hendak dimadukan dan saya tak rela hendak berkongsi kasih. Saya tahu poligami itu harus dalam Islam. Apa yang terbaik perlu saya lakukan ustaz?

Faridah,

Ampang, Selangor.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrh wth, Puan Faridah. Pertamanya saya mengucapkan syabas kepada puan kerana mengemukakan apa yang buku dihati ini melalui ruangan ilmiah dan berasaskan pedoman agama. Tindakan ini amat bertepatan bagi mengelakkan kita terbawa-bawa dengan perasaan sedih dan marah sehingga bertindak diluar kewarasan dan pertimbangan adil.

Bila ditanya kepada mana-mana isteri, kebanyakan mereka biasanya akan menyatakan berat untuk membenarkan suami mereka berkahwin lain. Masing-masing tidak sanggup berkongsi kasih, atau melihat suaminya sendiri berada disamping wanita lain. Perasaan cemburu sebegini adalah normal dan semulajadi. Bahkan ada kisah-kisah yang menggambarkan para isteri Rasulullah SAW mempunyai perasaan cemburu antara satu dengan yang lain.

Namun, soalnya bagaimana para isteri menghadapi perasaan begini sesuai dengan petunjuk Allah dan bertepatan dengan akhlak Islami. Dalam situasi para isteri berdepan dengan cabaran poligami ini, mereka perlulah kembali meneguhkan iman dengan menyakini sesungguhnya hukum yang ditetapkan oleh Allah Yang Maha Adil dan Maha Bijaksana itu mempunyai hikmah yang tersendiri. Dalam masa yang sama perlu juga para isteri menekuni peraturan-peraturan syarie berkaitan dengan poligami agar dapat menyuarakan pandangan mereka dengan bernas tentang hasrat suami untuk berkahwin dengan wanita lain.

Saya mencadangkan agar Puan Faridah dapat berbincang dengan suami bagi menemui jalan sepakat atau sekurang-kurangnya dapat saling memahami antara satu sama lain. Perbincangan berkenaan boleh berasaskan isu-isu berikut:

  1. Berasaskan realiti, apakah hukum poligami bagi suami Puan Faridah. Samada sunat, makruh, harus atau haram? Benar, seperti yang Puan Faridah sebutkan, poligami pada asalnya adalah sesuatu yang diharuskan dalam Islam. Suami dibenarkan memiliki empat orang isteri. Kebenaran ini disebut secara nyata di dalam Al-Quran (Surah An-Nisa’, ayat 3). Hukum asal ini tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun. Namun hukum ini berbeza-beza bagi setiap individu dan boleh berubah mengikut situasi. Contohnya, bagi suami yang mampu berlaku adil, dan memerlukan wanita yang dapat memenuhi keperluan semulajadi, serta bagi mengelakkan maksiat, sedangkan isterinya tidak mampu memenuhinya, maka hukumnya adalah sunat. Begitu juga bagi suami yang mampu bersikap adil dan inginkan anak sedangkan isteri yang ada sakit atau mandul. Sebaliknya jika seorang suami itu berhasrat untuk berpoligami semata-mata untuk berseronok dan dia sendiri ragu-ragu boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya, maka hukumnya berubah menjadi makruh. Bahkan hukum poligami boleh berubah menjadi haram dalam keadaan tertentu, seperti jika seorang suami tidak yakin boleh bersikap adil terutamanya jika dalam keadaan sebelum poligami pun dia sudah mengabaikan tanggungjawab asasinya sebagai suami.
  2. Persoalan yang kedua adalah tentang kemampuan suami Puan Faridah berlaku adil kepada semua isteri-isteri. Islam tidak memaksa keseimbangan atau keadilan dari segi perasaan, kerana ia sesuatu yang tidak zahir, tidak boleh diukur dan tidak mampu dikawal. Keadilan yang dimaksudkan ialah keadilan dari sudut nafkah, tempat tinggal, tempat tidur dan pergaulan yang baik.

Jika suami puan tidak mampu berlaku adil, dan poligaminya termasuk dalam kategori makruh atau haram, maka puan berhak untuk bersuara bagi memintanya membatalkan hasrat berkenaan. Puan perlu bersuara bagi mengelakkan berlakunya kezaliman dan kemungkaran. Allah berfirman: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (diantara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah) dengan seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk) mencegah supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah An-Nisa’:3)

Undang-undang pentadbiran keluarga Islam di Malaysia memberikan ruang kepada isteri untuk memberikan pandangannya melalui kaedah-kaedah berbeza mengikut negeri. Namun begitu adalah lebih baik perkara ini diselesaikan melalui rundingan samada melalui puan dan suami, atau boleh juga melibatkan ahli keluarga yang dihormati yang dapat menjadi pendamai antara dua pihak.

Sebaliknya, jika suami puan yakin boleh berlaku adil, dan sememangnya dia mampu serta termasuk dalam kategori yang harus atau sunat melakukan poligami, maka puan perlulah bersedia menerima hasrat berkenaan. Setiap ketentuan Allah pasti ada hikmah yang tersendiri. Sesuatu yang kita merasakan mendatangkan keburukan, kadang-kala ia mendatangkan kebaikan di sisi Allah. Insyaallah, ketabahan puan menerima hasrat suami ini akan dikita satu pengorbanan besar yang pastinya mendapat ganjaran di sisi Allah. Bahkan inilah sebenarnya peluang puan untuk bermuhasabah dan meningkatkan kecintaan kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Wallahu ‘a’lam


Respon

  1. Ramai suami ingin berpoligami kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah. Apa komen ustaz?


Komen Anda

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: