Posted by: Fathi Yusof | Januari 31, 2015

Berkahwin dengan bekas adik ipar

SOALAN:

Bolehkah seorang lelaki berkahwin dengan bekas adik iparnya, iaitu adik bekas isterinya yang telah meninggal dunia?

 

JAWAPAN:

Boleh.

Seseorang lelaki tidak boleh berkahwin dengan adik iparnya iaitu adik atau kakak kepada isterinya. Tetapi jika isterinya meninggal dunia atau telah bercerai dengannya, maka dia boleh berkahwin dengan bekas adik iparnya itu.

Menurut hukum fikah terdapat dua jenis mahram iaitu: mahram sementara dan mahram yang berkekalan. Pengharaman berkahwin dengan ipar termasuk kategori mahram sementara. Ia berlaku dengan sebab wujudnya hubungan perkahwinan. Pengharaman bermula selepas akad dan ia berakhir selepas habis ikatan perkahwinan.

Pengharaman ini berlaku kerana seseorang lelaki tidak boleh mengumpulkan dua wanita bersaudara dalam perkahwinannya. Ia termasuk dalam senarai wanita yang haram dikahwini dalam ayat 23 Surah Al-Nisa’. Allah berfirman:

…وَأَن تَجۡمَعُواْ بَيۡنَ ٱلۡأُخۡتَيۡنِ إِلَّا مَا قَدۡ سَلَفَۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ٢٣

  1. … dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Hukum ini bukan sahaja melibatkan adik beradik isteri, bahkan juga ibu saudaranya sama ada sebelah ibunya atau bapanya. Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya: “Tidak boleh dikumpulkan antara seorang wanita dengan ibu saudaranya (sebelah bapa) dan tidak juga antara seorang wanita dengan ibu saudaranya (sebelah ibu).” (Riwayat Al-Bukhari)

Dalam hal ini pada ulama’ menetapkan kaedah bahawa ‘seorang lelaki diharamkan berkahwin dengan kerabat isterinya yang mana jika dia berada di tempat isterinya dia haram berkahwin dengan kerabat itu’. Seorang lelaki itu haram berkahwin dengan adik-beradik, ibu saudara dan anak saudara. Maka seseorang lelaki yang beristeri tidak boleh berkahwin dengan adik-beradik isterinya, ibu-ibu saudara isterinya dan anak-anak saudara isterinya.

Walau bagaimana pun, oleh kerana pengharaman ini hanya sementara, maka bila lelaki itu berpisah dengan isterinya sama ada kerana kematian atau perceraian, hukumnya berubah menjadi halal. Wallahu’alam.

SOALAN:

Adakah perkahwinan ini boleh mendatangkan masalah dari sudut budaya dan agama?

 

JAWAPAN:

Dari sudut agama, ia tidak mendatangkan masalah kerana keharusannya adalah jelas. Para ulama ada membahaskan tentang hikmah pengharaman mengumpulkan dua adik beradik. Antara hikmahnya untuk mengelakkan berlaku konflik sesama saudara akibat perasaan dengki dan dendam yang amat mudah timbul di kalangan wanita yang bermadu. Hal ini bersandarkan kepada kata-kata Nabi SallaLlahu ‘alaihi wasallam selepas baginda melarang seorang wanita dikumpulkan bersama-sama dengan ibu saudaranya: “Jika mereka (kaum wanita) itu melakukan demikian, mereka telah memutuskan hubungan silaturrahim.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Terdapat juga hadis riwayat Abu Daud (hadis mursal) daripada Isa bin Talhah yang menyebut bahawa Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi wasallam melarang seorang wanita dinikahi atas pernikahan kerabatnya bagi mengelakkan pemutusan hubungan persaudaraan.

Jika dirujuk kepada hikmah pengharaman ini, dapat difahami bahawa masalah yang dirisaukan daripada bermadu dengan adik beradik adalah soal terputusnya ikatan persaudaraan. Masalah yang dirisaukan itu hilang bila ikatan perkahwinan yang pertama sudah tiada lagi. Oleh itu andaian bahawa perkahwinan demikian tidak baik dan mendatangkan masalah perlu diketepikan.

Setiap apa yang diharamkan ada keburukan dan mudaratnya. Sebahagian keburukan itu dapat difahami oleh manusia dan dinyatakan sebagai hikmah pengharaman. Tetapi hakikat sebenar hikmah pengharamannya mungkin tidak mampu difahami oleh manusia. Demikian juga soal keharusan sesuatu perkara. Apabila Allah mengharuskan sesuatu, maka kita perlu yakin bahawa keburukan yang timbul akibat pengharamannya sudah tiada lagi. Oleh itu tidak wajar untuk kita menandai-mandai mencipta hukum dalam bentuk ‘pantang-larang’ atau sebagainya yang tidak mempunyai asas yang zahir.

Bahkan dari sudut hubungan antara seorang lelaki dengan mertuanya, perkahwinan dengan bekas adik ipar begini dapat mengekalkan hubungan kasih sayang antara satu sama lain. Bahkan ia juga mungkin mendatangkan kebaikan kepada anak-anak. Namun begitu, tidak salah bagi mana-mana pihak untuk mempertimbangkan soal ini berdasarkan masalah-masalah yang zahir seperti krisis rumah tangga yang pernah wujud atau sebagainya.

Wallahu’alam.

SOALAN:

Bagaimana pula jika adik perempuan itu pernah menyusukan anak kepada lelaki itu, iaitu anak saudaranya. Adakah lelaki itu boleh berkahwin dengannya yang juga menjadi ‘ibu susuan kepada anaknya’?

 

JAWAPAN:

Boleh. Seorang lelaki boleh berkahwin dengan ibu susuan anaknya. Oleh itu, jika kebetulan ibu susan itu adalah bekas adik iparnya, maka dia juga boleh berkahwin dengannya.

Pengharaman dengan sebab penyusuan melibatkan wanita-wanita berikut:

  1. Ibu susuan dan ke atas.
  2. Saudara perempuan susuan, iaitu anak kepada ibu susuan, atau anak susuan lain kepada ibu susuan.
  3. Anak perempuan kepada saudara sesusuan.
  4. Ibu saudara susuan, iaitu wanita yang menyusu bersama-sama dengan bapa atau ibu seseorang lelaki.
  5. Anak perempuan kerana sesusuan, iaitu wanita yang menyusu dari isteri kepada seorang lelaki, maka lelaki itu menjadi bapa kerana susuan.
  6. Ibu susuan isteri.
  7. Anak perempuan susuan.
  8. Isteri kepada bapa susuan.
  9. Isteri kepada anak lelaki susuan.

Hukum pengharaman susuan tertumpu kepada hubungan antara ibu susuan dan anak susuan itu. Ahli keluarga lain tidak terikat dengan hukum itu. Contohnya Harun adalah anak susuan Siti. Harun tidak boleh berkahwin dengan anak perempuan Siti kerana mereka adalah adik beradik susuan. Tetapi adik-beradik Harun yang lain, yang tidak pernah menyusu dengan Siti, boleh berkahwin dengan anak-anak Siti.

Kaedah yang sama terpakai dalam permasalahan di atas. Wallahu’alam.

Advertisement

Respon

  1. […] (Dian) mencadangkan supaya selain menjual rumah pembeli itu juga boleh berkahwin dengan saya memandangkan saya juga seorang janda. Jadi, saya pun bersetuju,” […]

  2. Asllmlkm….ustd boleh tak seorang lelaki berkahwin dengan bekas birasnya

  3. Boleh kah seseorg bekas abang ipar berkahwin dgn bekas adik iparnya yg kematian suaminya?

  4. Bolehkah si isteri bermadu dengan adik angkat nya yang dijaga dan disusukan oleh ibunya sendiri sejak dari lahir. Bagaimana hukum dari sudut syariah islam.


Komen Anda

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: