Posted by: Fathi Yusof | Januari 31, 2015

Bilakah anak layak dirotan?

Sebagai ibu dan bapa yang baik, anda perlu berfikir dengan mendalam tentang dua persoalan ini sebelum anda pernah merotan atau memukul anak anda: Bilakah anak anda layak dirotan? Atau, bilakah anda sendiri layak merotan anak? Anda juga patut berfikir tentang persoalan: Setakat mana anda berhak mendidik anak dengan rotan? Adakah rotan berkesan untuk mengubah akhlak dan amalan anak anda?

nasihat-300x209

Istilah ‘merotan’ yang kami gunakan di sini bukan merujuk kepada hukuman menggunakan rotan sahaja, tetapi sebarang bentuk hukuman yang berbentuk pukulan sama ada menggunakan rotan, tali pinggang, penyangkut baju, kayu atau sebagainya. Ia juga termasuk tindakan memukul anak dengan tangan.

Memukul manusia adalah satu bentuk kekerasan. Pada asalnya, tiada manusia yang berhak menyakiti orang lain, walau pun anaknya sendiri. Rasulullah SAW sendiri melarang umatnya menyakiti antara satu sama lain. Apa lagi jika yang disakiti itu insan yang kecil dan lemah. Menyakiti orang lain pada asalnya bertentangan dengan konsep kemuliaan bani Adam seperti yang disebut oleh Al-Quran. Oleh yang demikian, kebenaran dan kewajipan ibu bapa untuk merotan anak hanyalah satu bentuk pengecualian khusus yang terhad kepada tujuan yang ditentukan.

Malangnya pada hari ini ramai ibu bapa yang tidak meneliti soal yang penting ini. Berapa ramai anak-anak yang menjadi mangsa kerakusan ibu bapa yang kononnya menggunakan ‘kuasa’ mereka untuk memukul anak-anak. Dalam Islam tubuh badan anak-anak bukan milik ibu bapa, ia tetap milik Allah; dan Allah telah menyatakan kemuliaannya. Maka, ibu bapa tiada kuasa untuk menyakiti anak-anak melainkan dengan cara yang diizinkan oleh Allah.

Bahkan hari ini ramai anak-anak yang menjadi tempat ibu bapa mereka melepaskan geram dan amarah. Tanpa disedari anak-anak disakiti tanpa sebab yang kukuh. Kadang-kadang anak-anak yang masih kecil, lemah dan memerlukan perlindungan dipukul, dicubit, ditampar dan sebagainya walau pun kesalahan itu amat kecil. Bahkan ada juga ibu bapa yang mengalami tekanan di tempat kerja gagal mengawal emosi lantas melepaskannya ke atas anak-anak.

Kerana Mendidik

Tentunya tujuan pukulan adalah hanya untuk mendidik. Ini bermakna ia bukan satu bentuk ‘pembalasan’. Apa lagi untuk dianggap sebagai ‘penyeksaan’. Yang pasti pukulan itu menyakitkan. Sakit itu bertujuan untuk menjadikan anak-anak lebih ingat. Memori sakit itu akan menimbulkan rasa serik dan takut untuk mengulangi kesalahan. Secara tidak langsung ia mampu mengubah tingkahlaku dan sikap anak-anak. Ia berkesan tetapi ia adalah pilihan terakhir dalam proses pendidikan.

Ibu bapa sewajibnya mencari jalan lain untuk menggunakan pendekatan lain terlebih dahulu sebelum memilih jalan memukul anak. Terdapat banyak cara untuk mengubah sikap. Bahkan banyak juga kaedah hukuman yang tidak menyakitkan fizikal. Apa yang penting ibu bapa harus mempunyai ilmu dan kesabaran untuk mendidik. Kaedah pukulan secara zahirnya dapat mengubah tingkahlaku secara cepat. Namun perubahan itu hanya perubahan luaran dan sementara, jika pukulan itu tidak dilakukan sebagaimana yang dianjurkan oleh agama dan seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Hilang sabar

Perkara yang paling penting dalam panduan mendidik anak melalui pukulan ialah ibubapa perlu mengelakkan memukul anak dalam keadaan marah. Jika ada perasaan marah ibu bapa perlu menangguhkan dahulu niat untuk memukul anak. Sebelum tangan ibu bapa dinaikkan untuk memukul, mereka perlu menilai perasaan dan diri mereka sama ada emosi mereka stabil, atau ada apa-apa perkara lain yang sedang mengganggu emosi mereka. Secara semulajadi, manusia yang tidak stabil emosinya akibat tekanan kerja, kerungsingan, bergaduh dengan orang atau sebagainya.

Memukul anak di saat kemarahan tidak akan membawa kesan positif kepada anak. Pertamanya, kerana pukulan itu tidak dibuat setulusnya kerana Allah. Ia bukan untuk mendidik anak tetapi untuk memuaskan nafsu marah. Nafsu marah beserta syaitan akan mempengaruhi jiwa ibu bapa yang sedang membuak-buak untuk memukul anak. Ini bermakna pukulan itu bukan atas kehendak Allah tetapi atas kehendak nafsu dan syaitan. Pukulan yang sebegini bukan sahaja tidak berpahala bahkan boleh menjadi satu dosa dalam bentuk penganiayaan sesama manusia.

Khalifah Umar Abdu Aziz pernah menjalankan hukuman sebatan kepada pesalah jenayah. Ketika pesalah tersebut berdiri dan bersedia untuk dipukul, khalifah tiba-tiba berkata: ‘Sudah, biarkan sahaja.” Beliau kemudiannya ditanya kenapa beliau enggan memukul pesalah itu. Beliau menjawab: ‘Telah muncul di dalam hatiku perasaan marah terhadapnya, dan aku tidak mahu memukulnya dalam keadaan marah.’

Selain itu, memukul di saat kemarahan juga menjadikan pukulan ke atas anak itu tidak dapat dikawal. Si anak mungkin menjadi mangsa kerakusan ibu bapa yang hilang sabar. Lebih malang lagi bagi anak yang masih kecil dan lemah yang terpaksa menanggung penderitaan akibat kekasaran yang dilakukan oleh insan-insan yang sepatutnya melindungi mereka. Bagi yang sedang marah, mereka mungkin menyangka bahawa pukulan mereka biasa dan tidak kuat, tetapi bagi kanak-kanak pukulan seorang dewasa amat menyakitkan. Apa lagi jika pukulan itu dilakukan dalam keadaan marah dan tertekan.

Fathi Yusof


Respon

  1. tidak boleh memukul anak hanya peringatan aja utk anak tks


Komen Anda

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: