Seperti yang telah dibincangkan dalam penulisan lepas, ibu bapa tidak mempunyai kebebasan mutlak untuk memukul anak-anak mereka. Mereka terikat dengan ketetapan Allah, Tuhan yang menjadikan anak itu, dan juga yang menjadikan ibu bapa. Maka memukul anak-anak hanya boleh dilakukan dengan syarat-syarat yang ditentukan agama. Bagi memudahkan perbincangan di sini saya perincikan syarat-syaratnya yang dirumus berdasarkan panduan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, termasuk juga diambil dari pandangan para ilmuan Islam:
- Anak berumur sepuluh tahun ke atas.
Anak yang belum berumur sepuluh tahun, tidak wajar dirotan atau disebat.
Namun hukuman yang lebih ringan seperti dengan memulas teliga, cubitan kecil, dan seumpamanya boleh dilakukan mengikut tahap pemikiran anak itu. Tahap umur ini berdasarkan hadith Nabi seperti yang dinyatakan dalam penulisan lepas. Rasulullah SAW hanya membenarkan pukulan bila anak berumur sepuluh tahun dalam kesalahan mengabaikan solat. Kesalahan ini amat besar dalam Islam, maka amat tidak wajar ibu bapa memukul atas kesalahan lain yang lebih kecil.
- Kesalahan yang dilakukanl biarlah setimpal dengan hukuman.
Kesalahan yang kecil perlu dibetulkan dengan teguran dan nasihat berterusan. Memukul hanya untuk kesalahan besar seperti meninggalkan solat. Kayu ukur yang digunakan bagi menilai besar atau kecilnya kesalahan itu perlulah kayu ukur agama, bukan kayu ukur dunia. Ukurannya bukan nilai kerugian yang ditanggung akibat kesalahan, namun nilai kemurkaan Allah atas sesuatu kesalahan.
- Anak itu telah mengetahui bahawa apa yang dilakukan itu salah.
Ibu bapa tidak layak menghukum anak, jika mereka tidak mendahuluinya dengan mendidik. Ibu bapa wajib memastikan anak mendapat didikan, sama ada melalui didikan di rumah atau di sekolah. Mendidik anak bukan semata-mata dengan menghantarnya ke sekolah. Apa yang lebih penting ibu bapa menunjukkan contoh yang baik dan sentiasa memantau akhlak dan ilmu anak-anak. Jika anak-anak jahil, bapa dan ibulah yang perlu dipertanggungjawabkan dahulu.
- Tidak memukul dalam keadaan marah.
Jika anda sedang marah, tangguhkan dahulu niat untuk memukul anak itu. Anda boleh redakannya dengan berwudhu dan beristighfar.
- Alat memukul yang wajar.
Alat memukul biarlah tidak terlalu menyakitkan. Janganlah sampai menyebabkan berlaku kecederaan atau luka. Syaikh Syamsudin Al-Inbab memberikan pandangannya bahawa alat yang digunakan untuk memukul anak haruslah:
- Ukurannya sederhana, tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil
- Rotan yang tidak terlalu baru dan basah sebab ia berat dan dapat melukai
- Boleh juga menggunakan alat lain seperti pakaian, ranting dan seumpamanya.
Apa yang penting di sini ialah, pukulan bukan untuk menyakitkan, tetapi untuk mendidik. Lebih baik jika ibu bapa sendiri mengetahui tahap mana kesakitan bila memukul anak menggunakan alat berkenaan. Caranya ialah dengan ibu bapa sendiri mencubanya dengan memukul diri sendiri menggunakan alat itu. Jika ibu bapa sendiri merasa sakit, tentunya anak yang masih kecil dan lemah itu berasa lebih sakit. Dengan cara ini, ibu bapa tentu lebih terkawal bila menghukum anak-anak.
- Tidak melaksanakan hukuman dihadapan anak-anak lain
Antara panduan yang diberikan oleh para ilmuan ialah saranan agar ibu bapa tidak menghukum anak mereka di hadapan adik beradik lain. Lebih-lebih lagi hukuman itu dikenakan ke atas anak yang lebih tua. Langkah ini diambil bagi mengelakkan beberapa kesan negatif antaranya untuk tidak menjatuhkan air muka seorang kakak atau abang di hadapan adik-adiknya, untuk mengelakkan risiko dendam dan persaingan tidak sihat atau sebagainya.
- Memberitahu kepada anak sebab hukuman sejurus sebelum pukulan dilakukan.
Sebelum pukulan dilakukan, bapa atau ibu patut duduk dan memanggil anak untuk bertemu secara berhadapan dan memberitahu kepadanya bahawa dia telah melakukan kesalahan besar dan perlu dihukum. Jelaskan bahawa hukuman ini adalah untuk menjadikan dia lebih berhati-hati, beringat dan tidak mengulangi kesalahan yang sama. Ulangi pernyataan sayang kepada anak anda.
- Bilangan pukulan
Tidak ada dalil yang nyata tentang had bilangan pukulan yang dibolehkan. Namun hakikatnya sekali pukulan sudah memadai untuk mencapai maksud mendidik. Mungkin pukulan dua atau tiga kali boleh dilakukan bagi anak yang mengulangi kesalahan sama, atau jika kesalahan itu terlalu serius. Namun jika lebih dari itu dirasakan berlebihan, walau pun ada pendapat yang membolehkan pukulan tidak lebih dari sepuluh kali. Sebenarnya perkara yang utama ialah bukannya kuantiti pukulan, tetapi tetapi nilai emosi di sebalik pukulan itu. Oleh yang demikian, amat tidak wajar, jika anak yang bersalah itu dipukul berkali-kali tanpa ehsan dan rasa kasihan. Pukulan begini bukan sahaja zalim, bahkan tidak menimbulkan keinsafan yang tulus di hati anak-anak.
- Kekuatan pukulan
Memukul anak tidak wajar terlalu keras. Pertamanya, anak-anak itu masih kecil dan lemah. Tubuh badan mereka masih belum mampu menanggung pukulan yang kuat seperti orang dewasa. Keduanya, pukulan ini adalah pukulan untuk mendidik, bukan untuk menyakitkan. Maka pukulan yang sederhana sudah memadai. Ketiga, nilai pengajaran dalam pukulan bukan terletak pada tahap kesakitan akibat pukulan itu, tetapi terletak pada berapa dalamnya perasaan insaf akan kesalahan yang dilakukan. Keinsafan ini boleh diperdalamkan dengan nasihat dan curahan perasaan ibu bapa sebelum dan selepas hukuman dilakukan. Keempat, jika anak terbiasa dengan hukuman yang menyakitkan, mereka akan menjadi kebal dengan hukuman seumpama itu pada masa akan datang. Akibatnya sebarang pukulan akan tidak membawa erti lagi. Kelima, lagikan hukuman bagi kesalahan hudud tidak boleh terlalu kuat, maka dalam kes ini amat tidak wajar hukuman anak dilakukan lebih keras dengan hukuman hudud. Dalam mengendalikan hukuman hudud, Sayidina Umar Al-Khattab pernah berkata kepada pelaksana hukuman rotan: “Jangan kamu angkat ketiakmu”. Maksudnya, jangan merotan hingga sepenuh tenaga dan mengangkat tangan sehingga kelihatan ketiak. Maka, dalam merotan anak, syaratnya tentu perlu lebih ketat.
- Anggota badan yang boleh dipukul
Tempat yang wajar ialah kaki dan tangan. Dalam riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu memukul, maka waspadalah bahagian wajah.” Maka memukul wajah serta kepala, termasuk pukulan dengan tangan seperti menampar atau menumbuk tidak diizinkan. Dari konteks perubatan, pukulan di muka merbahaya kerana disitu terdapat banyak saraf yang sensitif. Memukul di bahagian kepala pula boleh melemahkan atau merosakkan otak.
- Berhenti memukul jika anak menyebut nama Allah
Imam Tarmizi meriwayatkan dari Said Al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jika salah seorang dari kamu memukul pelayannya, lalu dia meyebut nama Allah, maka hendaklah dia mengangkat kedua tangannya (iaitu berhenti memukul).” Para berhujah bahawa hadis ini melarang ibu bapa dari terus memukul anak yang menyebut nama Allah. Demikianlah beberapa syarat kepada kebenaran untuk memukul anak-anak. Islam membenarkan pukulan sebagai jaan terakhir dalam usaha mendidik anak-anak. Tentunya anda boleh menjadi bapa yang hebat walau pun tanpa memukul anak. Bahkan itu lebih baik. Syarat-syarat yang dikemukakan di atas adalah untuk memastikan sebarang bentuk pukulan adalah semata-mata untuk mendidik. Jika dipatuhi syarat ini, insyaallah pukulan ibu bapa itu menjadi pukulan yang berwibawa. Iaitu pukulan yang sedikit, jarang-jarang dan sederhana kuat, tetapi amat berkesan dan diingati sampai bila-bila. Nilai dan manfaat hukuman menjadi besar. Sebaliknya jika syarat di atas diabaikan, maka pukulan yang dilakukan adalah pukulan atas dasar nafsu dan tiada makna. Bahkan is menimbulkan rasa benci, dendam dan menghilangkan rasa hormat kepada ayah atau ibu. Anak yang terbiasa dengan hukuman begini akan menjadi ‘kebal pukulan’ sehingga sebarang bentuk hukuman fizikal akan menjadi sia-sia sahaja. Wallahu’alam. Fathi Yusof
Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini http://www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.
Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis 🙂
By: batusurya on Ogos 13, 2015
at 9:01 pm