(catatan abi untuk ingatan kita sekeluarga agar kita tidak melupakan saat-saat getir dalam perjalanan hidup kita)
Alhamdulillah. Segala puji selayaknya kepada Allah yang memberikan peluang kepada kita sekeluarga untuk kembali ceria selepas ujian demam denggi di musim perayaan tahun 2019 ini. Ia satu pengalaman getir memang tidak dapat dilupakan.
Mana mungkin abi lupa pengalaman melalui saat demi saat isteri tersayang dan ketiga-tiga anak ditimpa demam yang dahsyat dan mengalami menurunan kadar penurunan platlet dalam darah sehingga ke tahap bacaan 8 sahaja.
DERITA DEMAM
Pada mulanya kita semua tak sangka ia denggi. Tambahan pula cuti panjang dan kepulangan ke kampung menyebabkan pemeriksaan darah sukar dibuat segera.
Kakak (Farhah) mula demam pada Jumaat malam Sabtu 1 Jun iaitu 27 Ramadan. Pulang tarawih kakak terus tidur. Penat.
Pada pagi Sabtu pula adik (Mus’ab) demam. Kedua-duanya demam teruk sehingga tak mampu berpuasa sepanjang empat hari terakhir Ramadan. Waktu famili mahabbah berkumpul di Alam Damai, kedua-duanya sedang demam.
Bila ke Klinik Sulaiman, doktor berikat ubat gastrik kepada kakak dan ubat batuk selsema serta antibiotk kepada adik. Itulah penyakit yang didiognosis berdasarkan pemeriksaan yang dibuat. Maka dalam tempoh itu kedua-duanya dirawat dengan ubat-ubat itu, tetapi demam kedua-duanya amat lambat sembuh.
Waktu perjalanan pulang pada hari Isnin 3 Jun (29 Ramadan) kakak dan adik masih lagi demam dan penat.
Demam kakak dan adik hanya berkurangan pada hari Raya kedua. Tapi masalah batuk dan sakit perut tidak juga reda. Mata adik pula kerap jadi merah. Waktu itu tak siapa jangka akibat denggi.
Manakala mama pula cergas dan segar waktu balik kampung. Tetapi mula nampak penat pada 4 Jun (30 Ramadan) — hari abi dan mama keluar membeli barang keperluan raya.
Balik dari pasar, mama maklumkan sakit badan. Kemudiannya badan panas dan demam. Saat itu kakak dan adik masih lembik demam. Jadi ada tiga yang demam.
HARAPAN ABI
Tengahari itu, abi cakap kat abang (Muslih): “Abang lah harapan abi, jangan demam yea!” abang senyum je. Tapi sebelah petang abang datang: “Abi minta maaf, abang pun demam juga!” Tergamam. Keempat-empat demam.
Esoknya 5 Jun adalah hari raya. Banyak plan untuk masak itu dan ini. Abi yang tak pandai masak ini terpaksa back up buat apa yang patut. Sambil tu kena pastikan juga ada bekalan bubur nasi untuk dimakan oleh mama dan anak-anak yang demam.
Pada hari raya itu, kita solat sunat Idul Fitri di rumah sahaja. Selepas solat bergambar ringkas.Terhibur juga dengan tetamu kanak-kanak yang datang berziarah.
Cuba lihat gambar raya kami. Nampak mama, kakak, abang dan adik pucat. Gambar tu dapat senyum juga sebab kelakar lihat telatah budak yang datang beraya yang disuruh ambil gambar. Alhamdulullah sekurang-kurangnya ada juga gambar raya.
Raya aidil fitri mama dan anak-anak dalam keadaan terkulai. Moga Allah memberkati dan mengampuni dosa-dosa kita sehingga bersih seperti fitrah.
Petang raya tu abi bawa mama ke klinik. Sama seperi adik, mama didiagnosis sebagai demam batuk selsema.
Raya kedua (Khamis 6 Jun), bawa abang ke klinik, juga diberi ubat selsema, batuk serta tahan muntah. Mama layan tetamu macam dalam keadaan menahan sakit. Abang ula banyak tidur. Kedua-duanya amat lemah malam tu.
SAKIT BADAN
Keesokan harinya (Jumaat 7 Jun) adalah raya ketiga. Mama mengadu sakit badan yang amat kuat. Badan lemah dan sakit-sakit. Muslih pula pagi tu agak segar walau pun masih demam. Kakak dan adik sudah pulih demam tapi masih batuk-batuk dan sakit perut (kakak). Abi putuskan untuk bawa mama ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Muslih diajak sekali. Selepas di rawat, doktor minta untuk buat pemeriksaan darah mama sebelum dimasukkan ke wad. Dr Mahamad Yusof memeriksa mama lebih lanjut. Muslih hanya pesakit luar. Waktu di dalam wad, abi dimaklumkan keputusan ujian darah dah siap. Abi diminta jumpa Dato’ Dr Chan.
Bila keputusan darah dimaklumkan, abi terkejut. Sah denggi. Bacaan pletlet hanya 8. Ya Allah! Bantulah kami.
ANGKA PLETLET
Abi segera minta ujian darat dibuat untuk abang. Dalam hati berdoa, agar jangan denggi juga. Muslih mulanya enggan. Takut jarum katanya. Dipujuk akhirnya setuju. Keputusannya 82 dengan kadar sel darah putih yang rendah–juga sah denggi. Jadi, Muslih juga perlu dimasukkan ke wad.
Mama di bilik wad 501, Muslih pula ditingkat 4 bilik 401. Waktu itu teringat kakak dan adik. Terus telefon abang Fuad. Minta bantuan bawa mereka untuk ujian darah juga.
Farhah dan Mus’ab datang tersengih-sengih. Bagi mereka, demam dah berakhir dan sekarang masa untuk beraya. Tambahan pula dah ramai berkumpul di rumah tok wan. Tapi ujian ini penting sebab denggi biasanya tetap ada walau pun selepas demam. Bila dapat keputusan, pletlet kakak 65 tapi dianggap telah melepasi kategori denggi kerana petanda lain seperti sel darah putih dan kepekatan darah baik. Cuma tetap perlu pemantauan kerana kadar nadinya lemah.
Adik pula kadar pletletnya 109, agak tinggi tetapi dianggap positif denggi kerana faktor-faktor lain. Tambahan pula adik didapati mengaami jangkitan kuman microplasma yang memerlukan pemantauan lanjut.
RAYA DALAM WAD
Jadi kedua-duanya pun ditahan di wad. Kini keempat-kempat perlu masuk wad. Alhamdulillah pihak pusat rawatan memberikan kerjasama baik untuk membenarkan semua keempat-empat berada di dalam satu bilik. Bilik 502 yang memuatkan 5 katil jadi pilihan. Mama dipindahkan sebelah petang. Muslih pula masuk dalam jam 10:15 malam. Semuanya berkumpul dalam satu wad. Di sini kita ‘beraya’.
Allah uji kita waktu ini untuk mengajak kita kembali kepadaNya. Meletakkan seluruh harapan kepadaNya. Hanya kepadaNya. Betapa kita manusia tiada upaya untuk mengubah apa-apa. Hanya mampu berusaha. Itu pun terlalu sedikit yang mampu dibuat.
Apa sangat yang kita mampu buat ke atas virus denggi, yang sangat kecil hingga mata kita pun tak mampu nak lihat.
Apa upaya kita nak membina sel-sel pletlet agar kembali bertambah. Tak mampu. Kita terlalu lemah. Lantas, hanya kepada Allah tempat kita bergantung.
Abi takkan lupakan saat getir pletlet mama yang turun dari 45 kepada 19 (Sabtu) dan turun lagi ke 14 (Ahad). Ditambah pula mama yang tidak selera makan dan mengalami jangkitan hempedu serta kembung. Hanya Allah tempat berserah. Tika pletlet mama naik ke 21, pletlet Muslih pula turun dari 84, ke 54 dan ke 43.
Kita tak lupa sokongan dan doa keluarga kita. Famili Kedah tak putus-putus berziarah menghiburkan hati kita di dalam wad, sambil menyediakan sup ketam dan jus pucuk betik sebagai ikhtiar penyembuh. Keluarga mahabbah pula tak putus-putus bertanya khabar dan berdoa. Terima kasih semua.
Alhamdulillah mama dan anak-anak bersemangat untuk sembuh. Minum banyak air, walau pun sulit untuk ke tandas. Terpaksa panggil nurse untuk buka salur drip dan pasang kembali. Mama, abang dan adik diminta untuk catat semua yang dimakan, diminum, kencing dan berak. Adik semangatt untuk cipta rekod sukat air kencing hingga 450cc. Hehehe.
Pendekatan doktor yang merawat juga alhamdulillah cukup baik. Dato’ Chan memang pandai memberikan keyakinan dan menenangkan kita di saat yang getir dan genting. Jasanya dan juga jasa Dr Guna yang rawat adik kita tak lupakan. Mereka orang baik-baik. Moga Allah berikan hidayah kepada mereka dengan Islam supaya dapat menikmati syurga Allah.
Akhirnya hari kelima dalam wad (Selasa), kita boleh pulang. Petang itu terus ke rumah tok dan tokwan untuk ambil beg. Kemudian bertolak pulang. Sedih juga tak sempat luang masa lama dengan tok dan tokwan. Tapi memandangkan tok dan tokwan dijadualkan datang KL beberapa hari kemudian, maka tak ras terkilan sangat.
Pengalaman keluarga kita diuji dengan denggi ini sebenarnya amat berharga buat kita. Pertamanya ia menunjukkan betapa besarnya nikmat kehidupan, dan nikmat kesihatan. Kita kadang-kadang cuai untuk menjaga kesihatan dan kebersihan diri serta persekitaran. Kedua, pergantungan kepada Allah adalah sumber kekuatan buat kita. Ketiga, kesabaran dalam menghadapi kesakitan amat penting untuk kesembuhan. Keempat, ikatan kasih sayang keluarga kita sangat mahal harganya. Jagalah sebaik mungkin. Kelima, semangat dan kesungguhan untuk mencapai sesuatu (seperti kesembuhan) sangat penting. Sokongan luaran amat membantu semangat ini.
Kita sama-sama doakan moga Allah memberikan kita keberkatan, rahmat dan kesihatan sebaik-baiknya.
Komen Anda