Terdapat segelintir ibubapa yang melihat bahawa tindakan menghukum anak-anak, samada melalui pukulan atau selainnya adalah satu kaedah lapuk yang tidak lagi sesuai zaman ini. Mereka berpandangan bahawa anak-anak cukup menerima didikan melalui pengajaran yang diberikan dan melalui pengalaman yang mereka lalui sendiri. Menurut mereka, anak-anak perlu didorong, bukannya dipaksa. Bagi mereka, menghukum anak-anak akan merencatkan perkembangan emosi mereka, dan menjadikan mereka pendendam, rendah diri, dan takut untuk meneroka perkara baru.
Adakah anda setuju dengan pandangan seperti ini? Adakah ibu bapa tidak perlu menghukum anak-anak yag melakukan kesalahan. Adakah cukup jika anak-anak hanya diajar dan diberitahu serta dilarang, tanpa perlu dihukum dengan pukulan? Adakah ibu bapa tidak berhak untuk memukul atau merotan anak-anak?
Islam vs. Barat
Memang menurut kebayakan pakar psikologi barat, menghukum secara fizikal mesti dielakkan bagi mengelakkan kesan sampingan. Mereka berpendapat bahawa hukuman fizikal akan menyebabkan anak itu menjadi agresif dan suka berlaku kasar dengan orang lain. Selain itu, mereka mendakwa ia juga sukar dikawal dan boleh mendatangkan kecederaan kepada anak-anak.
Hakikatnya, mendidik tidak akan lengkap tanpa hukuman. Bahkan hukuman adalah salah satu bentuk pendidikan. Pendidik seperti guru dan ibu bapa bukan sahaja perlu membimbing, mengajar dan menunjukkan contoh yang baik, bahkan mereka perlu mampu melaksanakan peranan mereka sebagai pelaksana hukuman atas kesalahan yang dilakukan oleh orang yang dididik.
Jika hukuman dilakukan benar-benar mengikut kaedah Islam, insyaallah anak-anak tidak terdorong untuk menjadi agresif atau pembuli. Ini kerana, mereka dihukum dengan penuh kesedaran bahawa kesakitan yang dialami adalah kerana kesilapan mereka, bukan kerana manusia bebas menyakiti orang lain sesuka hati. Adab dan tatacara hukuman fizikal dalam Islam juga akan membantu ibu bapa mengelakkan tindakan menghukum luar kawalan sehingga mencederakan anak-anak.
Namun hukuman dalam pendidikan anak-anak tidak sama dengan hukuman jenayah. Hukuman jenayah bertujuan untuk menegakkan keadilan bagi membalas kesalahan dengan hukuman yang setimpal selain untuk menimbulkan rasa serik mengulangi jenayah dan sedikit elemen pendidikan. Hukuman di rumah dilaksanakan semata-mata untuk mendidik. Ia bukan satu bentuk pembalasan (retributive), tetapi satu kaedah pemulihan (rehabilitative). Ia adalah sebahagian dari proses ta’dib atau pembinaan adab.
Islam mengiktiraf hak ibubapa untuk memukul anak-anak untuk tujuan mendidik. Namun, perlu diingat bahawa Islam juga menyediakan batas-batas dan syarat dalam melaksanakan hukuman keatas anak-anak. Yang pasti, hukuman mestilah dilakukan dengan tenang berasaskan pertimbangan waras dalam rangka untuk mendidik anak-anak. Jika ibu bapa mengukum dengan perasaan marah yang meluap-luap, maka mereka wajar mendidik diri mereka terlebih dahulu untuk tahu bertenang dan melenturkan nafsu pemarah.
Bahkan, dalam situasi tertentu, memukul anak bukan sahaja menjadi hak bahkan ia menjadi satu kewajipan yang perlu dilakukan dalam Islam. Fakta ini berasaskan seruan Rasulullah (SAW) yang meminta agar ibu bapa memukul anak yang enggan bersolat ketika berumur sepuluh tahun. Ini bermakna, jika seorang bapa mengetahui anaknya yang berumur lebih 10 tahun enggan menunaikan solat, namun si bapa tadi sekadar membiarkan sahaja tanpa mengambil tindakan tegas, maka si bapa tadi dikira melalukan dosa. Sekadar menyuruh dan mendesak masih tidak memadai. Rasulullah memerintahkan anak tadi dipukul sehingga dia mahu bersolat.
Pilihan terakhir
Namun, perlu juga diingat, bahawa hukuman ke atas anak-anak yang melakukan kesalahan bukan sahaja melalui pukulan. Bahkan pukulan itu adalah hukuman yang keras yang perlu menjadi antara pilihan yang terakhir. Sebelum pukulan, anak-anak yang salah atau degil wajar menerima hukuman-hukuman dalam bentuk yang lain seperti dinafikan atau dikurangkan faedah yang dia biasa dapat seperti faedah berbentuk wang saku, kebenaran untuk bermain basikal, kebiasaan keluar ke taman, masakan istimewa atau makan di luar. Contohnya, jika si anak gagal untuk mengemas bilik, sebagai hukuman dia tidak dibenarkan pergi ke taman atau padang untuk bermain. Ini adalah satu bentuk hukuman.
Demikian juga hukuman berbentuk memulihkan kesalahan yang mereka lakukan. Umpamanya, jika mereka mengotorkan rumah, mereka boleh dihukum dengan arahan agar mereka membersihkan rumah. Selain itu, hukuman juga boleh dalam bentuk menafikan sementara apa yang disukai oleh anak itu. Contohnya anak itu terlalu gemar melayari internet serta menggunakan facebook, sehingga kerap terlewat untuk solat, maka hukumannya boleh berbentuk tidak membenarkannya melayari internet dalam beberapa tempoh sehingga dia benar-benar berubah sikap dan menghayati kepentingan solat diawal waktu.
Perlu diingat bahawa setiap hukuman hanya boleh dibuat jika anak-anak tadi mengetahui bahawa apa yang dia lakukan itu satu kesalahan. Anak-anak mengetahuinya sama ada dengan ibu bapa memberitahunya secara langsung atau sesuatu yang memang diketahui menjadi kesalahan. Anak-anak juga perlu memahami tahap serius sesuatu kesalahan. Bayangkan senario begini: seorang ibu membeli sebatang pokok bunga yang mahal dan meletakkan di luar rumah. Si anak yang tidak memahami mahalnya pokok itu bermain-main dengan pokok itu hingga patah dan tercabut daun-daunnya. Dalam hal ini anak itu selayaknya dihukum sekadar kesalahan merosakkan pokok bunga biasa, bukannya sebatang pokok bunga mahal kerana dia tidak mengetahui nilai sebenar pokok itu.
Sebagai tambahan, sebaik-baiknya hukuman-hukuman ini disertai dengan perlu diseimbangkan dengan hadiah penghargaan, jika dia melakukan kebaikan. Hukuman dan penghargaan perlu seimbang. Penghargaan menjadikan anak-anak bersemangat dan gembira untuk terus melakukan kebaikan, seterusnya mengelakkan kesalahan.
Selain itu, ibu bapa juga perlu menyertakan hukuman, penghargaan dengan penjelasan. Anak-anak perlu jelas tentang kebaikan dan kesalahan. Mereka tidak layak dihukum dalam kekeliruan. Mereka hanya layak dihukum jika mereka tahu apa yang dilakukan itu adalah kesalahan.
Lebih jauh dari itu mereka bukan sahaja perlu tahu apa itu kebaikan dan kesalahan. Mereka juga perlu memahami sebab dan logik kenapa sesuatu itu perlu dibuat atau perlu dielakkan. Walau pun mereka masih kecil, dan mungkin sukar memahami penjelasan ibu bapa, mereka tetap berhak menerima penjelasan. Sekurang-kurangnya mereka mengetahui bahawa mereka dilarang kerana bersebab, bukan kerana ibu bapa bencikan mereka, dan bukan kerana ibu bapa suka mengongkong mereka.
Insyaalah dalam catatan berikutnya kita akan meneliti beberapa syarat untuk melakukan hukuman ke atas anak-anak seperti yang dianjurkan oleh para ulama muslim. Selamat mendidik anak menjadi insan soleh dan muslih!
Fathi Yusof
Komen Anda