Posted by: Fathi Yusof | Ogos 11, 2010

Usah Salahkan Tiang, Didiklah Anak Memahami Potensi Diri

Saya ada menyentuh tentang pemikiran proaktif, dan bagaimana melatih anak-anak untuk memiliki kemahirannya. Ibu bapa perlulah terlebih dahulu menunjukkan contoh sebagai insan yang bersikap proaktif dan bukannya pesimis dan reaktif.

Ambik kau, tiang!

Selain dua langkah yang dinyatakan dalam artikel lepas, tindakan ketiga ialah ‘mengajar’ anak-anak agar jangan cepat merungut dan menyalahkan orang lain. ‘Mengajar’ di sini bermaksud ibu bapa perlu menunjukkan contoh sikap proaktif dengan mengelakkan budaya merungut-rungut dan suka menyalahkan orang lain. Bahkan ibu bapa perlu mempamerkan ketabahan dengan sentiasa mencari jalan penyelesaian bagi menghadapai sesuatu kesulitan. Jika ibu bapa kerap mempamerkan kekecewaan, anak-anak mudah menjadi insan lemah daya juang.

Kadang-kadang tanpa disedari, anak-anak diajar untuk sentiasa menyalahkan orang lain dan sentiasa menafikan kelemahan diri sendiri. Contohnya, apabila anak-anak yang masih kecil dan baru pandai berjalan dan berlari, tiba-tiba terlanggar tiang, lantas menangis. Ibu bapa yang kononnya prihatin itu segera memukul tiang dan berkata: ‘Ambik kau tiang!’ dengan harapan agar anak itu berhenti menangis.

Anak itu akan berhenti menangis dan tersenyum kerana tiang yang menyebabkan dia sakit itu telah dibalas ‘kejahatannya’. Tindakan ini hanya menjadikan si anak itu berfikir bahawa dia sentiasa betul, dan pihak lain yang menyulitkan kehidupannya sentiasa salah. Dia juga tidak akan terdorong untuk menilai kelemahan dan kecuaian diri sendiri.

Apa pendapat Kak Long?

Keempat, pemikiran proaktif boleh dibentuk melalui latihan kepada anak-anak untuk membuat keputusan. Baginda Rasulullah SAW mengajar umatnya bahawa setiap manusia adalah pemimpin. Ertinya, Islam mahukan kebolehan memimpin ini terserlah dalam setiap individu muslim. Dan latihan awal kepimpinan ialah latihan ‘membuat keputusan’.

Anak-anak perlu diajar untuk membuat keputusan dan bersedia bertanggungjawab atas keputusannya. Mulakan dengan keputusan-keputusan yang kecil seperti memilih baju untuk menghadiri kenduri, membuat jadual belajar atau memilih beg sekolah sendiri. Ibu bapa hanya berperanan untuk membimbing anak-anak membuat pertimbangan. Ibu bapa boleh meminta anak-anak menimbangkan baik buruk sesuatu pilihan dan juga untuk memahami risiko pilihan yang dibuat. Namun keputusan akhirnya diserahkan kepada anak itu sendiri.

Selain itu, ibu bapa juga perlu banyak berbincang dengan anak-anak dalam perkara yang melibatkan aktiviti kehidupan mereka. Pendapat mereka perlu didengar dan dipertimbangkan. Secara tidak langsung mereka akan menjadi proaktif and lebih yakin kepada diri sendiri. Walau pun kadang-kadang pandangan anak-anak kelihatan dangkal dan remeh, namun ia perlu ambil kira dan dihargai. Keberanian anak-anak memberikan cadangan dan pandangan perlu sentiasa didorong kerana ia dapat mengembangkan potensi kepimpinan dan kewibawaan.

Akhirnya, sikap dan pemikiran proaktif juga dapat dirangsang melalui dorongan-dorongan positif yang berbentuk penghargaan. Ibu bapa perlu peka dengan kebolehan, kebaikan dan inisiatif positif yang dilakukan oleh anak-anak. Penghargaan dan pujian menjadikan anak-anak bersemangat untuk meningkatkan usaha melakukan inisiatif yang baik. Insyaallah dengan keprinhatinan ibubapa, anak-anak yang dididik dengan cara yang positif ini akan menjadi insan cemerlang dan mampu mengangkat martabat Islam setingginya.


Komen Anda

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: