Posted by: Fathi Yusof | Ogos 7, 2007

Demam campak boleh bawa maut!

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

DEMAM campak – istilah yang lebih sinonim membunuh kanak-kanak ini bukanlah sesuatu yang asing bagi kebanyakan orang. Hampir kesemua orang dewasa pernah mendengar tentang demam virus beruam paling biasa ini, yang turut dikenali sebagai morbili, rubeola atau measles.

campak.jpg

Malah, sekitar tahun 1960-an, iaitu ketika vaksin campak masih belum ditemui, ia menjadi ancaman utama kepada ibu bapa kerana komplikasinya yang boleh mengakibatkan kematian. Sejak itu juga, berlaku penurunan kes-kes campak yang dilaporkan di negara ini berikutan kempen imunisasi campak yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Namun begitu, jumlah kematian akibat campak masih tinggi di dunia iaitu sejuta kematian setiap tahun terutamanya di negara-negara sedang membangun. Terbaru, belum pun reda kes-kes denggi luar biasa yang dicatatkan sempena tahun baru ini, negara dikejutkan pula dengan berita kematian 14 orang Penan di Sungai Urun, Belaga, Sarawak. Rata-ratanya mengalami pneumonia (radang paru-paru), antara komplikasi utama campak, yang dipercayai disebarkan oleh seorang lelaki kaum itu yang berkahwin dengan wanita Iban.

Pensyarah Pediatrik Klinikal, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azam Mohd. Nor berkata, campak merupakan sejenis penyakit berjangkit yang ditularkan oleh virus campak morbillivirus, dari keluarga paramyxoviridae. `Penyakit campak boleh merebak dengan begitu senang sekali iaitu melalui titisan air liur pesakit, baik semasa batuk, bersin ataupun hanya bercakap.

`Walaupun tidaklah seketara kes-kes penyakit rubella (campak Jerman), virus campak juga boleh dipindahkan terus daripada ibu yang mengandung kepada janinnya, menyebabkan kelahiran pramatang,” katanya.

Menurutnya, campak mempunyai peluang jangkitan yang sangat tinggi sehingga mencapai lebih 90 peratus sekiranya seseorang belum pernah mendapat imunisasi campak mahupun terkena penyakit itu sendiri. Ditanya sama ada orang dewasa boleh mendapat campak, Dr. Azam menjelaskan, kemungkinannya ada tetapi sangat jarang khususnya mereka yang berusia 30 tahun ke atas.

Dalam kes campak orang Penan yang turut meragut nyawa orang dewasa itu, ia berlaku kerana mereka belum pernah terdedah kepada penyakit sedemikian, menyebabkan badan tidak mempunyai daya tahan melawan campak.

Gejala-gejala yang boleh timbul dari penyakit ini terbahagi kepada empat tahap iaitu:

*Tahap pengeraman sekitar 10 hingga 14 hari selepas dijangkiti di mana pesakit tidak mengalami sebarang gejala

* Tahap prodromal berlangsung selama lebih kurang lima hari. Pada saat ini, kanak-kanak mula menunjukkan gejala seperti demam selesema, hidung berair, batuk ringan, mata merah berair (konjunktivitis), photofobia (mata mudah silau kepada cahaya) dan kesukaran menelan. Tompokan kecil berwarna putih di dalam mulut (koplik’s spot) berupa garam yang ditaburkan di atas permaidani merah, lazimnya dikesan selepas dua hingga tiga hari pesakit mendapat batuk selesema. Koplik’s spot dinamakan sempena seorang pakar pediatrik di Amerika Syarikat, Henry Koplik yang pertama kali mengesan tompokan ini.

* Apabila tahap pembentukan ruam yang berasa sedikit miang bermula, demam menjadi bertambah tinggi sehingga mencapai lebih 40o C. Batuk pula semakin parah.
Sebahagian ruam muncul dalam bentuk perubahan warna (makula) manakala sebahagian lagi timbul pada permukaan kulit (papula).Tabiat ruam campak bermula dari belakang telinga, leher, muka, dada, merebak ke seluruh badan, tangan, punggung, perut dan lengan sebelum menjalar ke bahagian kaki. Keseluruhan proses ini mengambil masa antara dua hingga tiga hari, kemudiannya beransur-ansur hilang manakala suhu badan mulai menurun, demam kebah dan koplik’s spot turut lenyap. Sebab itulah, kita biasa mendengar orang tua-tua selalu berkata, sekiranya ruam sampai ke kaki, tandanya campak semakin sembuh.

* Tahap penyembuhan; ruam hilang, lapisan kulit mengelupas manakala konjunktivitis juga semakin pulih. Gejala batuk bagaimanapun mengambil masa sedikit untuk pulih.

Gejala campak, kata Dr. Azam, sekalipun nampak ringan tetapi ia boleh menyebabkan komplikasi jangkitan yang sangat berbahaya dan boleh membawa maut. Masalahnya, virus campak boleh ditularkan daripada seseorang kepada yang lain semasa pesakit masih berada pada tahap pengeraman yang tidak menunjukkan sebarang tanda.

“Komplikasi yang paling biasa mengiringi campak ialah pneumonia, keratitis (inflamasi selaput mata) yang jika tidak dirawat boleh menjejaskan daya penglihatan, otitis media (jangkitan telinga) menyebabkan pekak dan ensefalitis (radang otak) menyebabkan sawan.

“Kekurangan zat makanan yang berkait rapat dengan daya tahan badan yang lemah serta masalah immunoefficiency disebabkan oleh rawatan kanser atau HIV, boleh memburukkan lagi komplikasi campak,” katanya.

Sejenis komplikasi lain yang boleh mengundang maut sekalipun jarang berlaku iaitu subacute sclerosing pan-encephalitis, boleh menyebabkan perubahan personaliti, serangan mengejut, kerosakan otak kekal dan pesakit koma selepas beberapa tahun dijangkiti. Memandangkan sehingga ke hari ini, tiada rawatan untuk penyakit-penyakit bawaan virus termasuklah campak, imunisasi sangat penting sebagai pencegahan, kata Dr. Azam.

Rawatan biasa yang diberikan ialah banyakkan minum air bagi mengelakkan dehidrasi akibat panas badan, pemberian paracetamol bagi melegakan demam, antibiotik sekiranya terdapat kuman di dalam paru-paru dan vitamin A bagi mengurangkan komplikasi.

“Campak tergolong dalam kategori penyakit yang dapat dicegah dan pencegahan paling berkesan adalah melalui suntikan vaksin.

“Vaksin campak terdiri daripada virus campak hidup yang dilemahkan dan dikulturkan di dalam embrio anak ayam untuk merangsang tubuh menghasilkan antibodi sendiri,” katanya.

Vaksinasi campak didatangkan dalam bentuk gabungan dengan vaksin beguk (mumps) dan rubella yang secara ringkasnya dinamakan sebagai MMR.
Sebanyak dua dos imunisasi MMR diberikan iaitu dos pertama ketika kanak-kanak berusia setahun manakala dos tambahan semasa mereka berada di tahun satu persekolahan rendah.

“Usia 12 bulan dipilih kerana jika diberikan terlalu awal, vaksin mungkin tidak dapat bertindak balas dengan berkesan kerana bayi masih membawa kekebalan si ibu semasa hamil.

“Kerana itu, penyusuan ibu sangat digalakkan bagi memanjangkan lagi tahap dan tempoh daya tahan kanak-kanak,” katanya.

Ibu bapa yang tidak menyuntik MMR semasa bayi berusia 12 bulan hanya mendedahkan kanak-kanak itu kepada ancaman campak yang lebih besar pada masa akan datang,
Suntikan imunisasi MMR diberikan sama ada pada bahagian paha atau lengan. Ia akan meninggalkan kesan sampingan yang ringan seperti sakit dan bengkak pada bahagian yang dicucuk, mengantuk, demam, ruam dan bengkak kelenjar air liur di leher.

Menjawab soalan sama ada individu yang mendapat suntikan MMR masih boleh dijangkiti, beliau menjelaskan, dianggarkan dua hingga empat peratus vaksin tidak berkesan.

“Ada banyak sebab kenapa ia berlaku seperti cara penyimpanannya yang tidak sesuai, pemberian vaksin yang terlalu awal kepada bayi berusia kurang 9 bulan di mana vaksin tidak bertindak secara baik dan kekebalan tidak sempurna.

“Kalau terdapat kes campak yang banyak di satu-satu tempat, umur 12 bulan dah dapat campak, kita boleh berikan suntikan lebih awal, sembilan bulan misalnya,” kata beliau.
Mengenai salah tanggapan segelintir masyarakat yang mengaitkan vaksin campak sebagai punca penyakit lain seperti autisme, berikut adalah mesej Dr. Azam:

“Penyelidikan terperinci telah menyangkal autisme sebagai kesan sampingan vaksinasi. Kesahihannya boleh dipertikaikan.

“Kita cenderung percaya benda kecil yang diperbesarkan hinggakan kita lupa kebaikannya yang jauh lebih besar,” katanya sambil menambah, kes campak di Penan adalah terpencil, sedangkan di Kuala Lumpur masih ada orang yang tidak mengambil suntikan MMR.

Antara keraguan yang biasa dibangkitkan ialah mengenai alahan pesakit kepada telur memandangkan pembuatan vaksin campak yang dihasilkan di dalam embrio anak ayam.
Cara penghasilan tersebut sebenarnya bertujuan menyukarkan pembiakan virus di dalam tubuh manusia.

Jika wujud keraguan, tambahnya, pihak hospital akan melakukan suntikan di bawah penyeliaan doktor. Vaksinasi MMR boleh diperoleh secara percuma di semua hospital dan klinik kesihatan kerajaan, di seluruh negara.


Respon

  1. camne lak ngan pantang larang demam campak

    • boleh cari dlm google ni
      byk makumat yg bleh di ambil

  2. Salam. Saya sekarang sedang mengalami campak ni. Saya copy artikel ni di Fp saya bolehkan? Thanks for sharing.

    • boleh
      no problem!!!

  3. salam saya ingin bertanya … anak saya mengalami demam campak sehingga menyebabkan dia tidak dpt berjalan dan dia seolah2 hilang ingatan
    boleh pihak tuan dapat member penjelasan
    terima kasih

  4. wow

  5. Anak saya baru 11 bulan, dan dia mengalami demam campak. Bolehkah vaksin di ambil sewaktu dia demam campak. Harap tuan dapat jelaskan.

  6. sy dgr pelbagai ksn yg dinyatakan t’hdp pesakit rubella. jd saya hrp tuan dpt menyatakan ksn pesakit rubella kepada perempuan yg b’umur 13 tahun ke atas. dan bolehkah vaskin di ambil

  7. salam….skang anak saya tgh mengalami demam campak. dia baru berumur 6 bulan lebih (11 september ni umur dia 7 bulan). selalunya suntikan utk demam campak diberi semasa umur 9 bulan (ikut kad klinik kerajaan). ble tuan tolong terangkan utk saya…. perlu tak saya beri dia antibiotik… terima kasih

  8. saya ada pertanyaan, sewaktu usia kehamilan saya 2 minggu – 3 minggu saya telah di jangkiti deman chikenpop adakah akan ada kesan sampingan ke atas kandungan saya

  9. salam,,,,saya sekarang ni ade mengalami demam campak…saya tak pernak kena sewaktu saya kecil lagi….adakah penawar untuk saya yang mahu cepat sembuh…tq

  10. alamak….saya tak sangka pulak yang demam campak tu boleh membunuh ek….kejam betul…

  11. wah!!!

  12. anak saya tgh demam campak skarang ni. cane blhh kene ek kan da suntik vksin. tlg saya isau ngat. tq

  13. anak saya baru berumur 5bln setengah tapi dia dah kena jangkitan demam campak dari kanak-kanak berumur 1 tahun lebih. rasanya dia belum disuntik vaksin. apa yang harus saya lakukan?

  14. salam, anak saya umur 9 bulan kena demam campak. dia belum di suntik vaksin. awalnya dia demam panas 4 hari tak menunjukkan nak kena campak.. saya bawa ke klinik dan doktor kasi ubat demam biasa.. selepas 4 hari demam mula kebah.. tak lama lepas tu naik banyak sangat bintik2 kecil merah-merah dan gatal. mak bagi minum air kelapa untuk keluarkan semua. lepas tu saya bawa ke klinik dan doktor bagi ubat sapu. ikut orang dulu-dulu cakap campak ni tak boleh sembarangan bagi ubat.. takut ada efek lain.. kalau boleh biar dia baik sendiri. persoalan saya.. kalau pergi klinik dengan ubat sapu.. ada kesan sampingan tak? atau perlu biarkan baik sendiri?

  15. salam. anak saya berusia 5bulan lebih, sekarang anak saya kena demam campak, sedangkan suntikan vaksin belum di ambil. apa yang perlu saya lakukan sekarang? bolehkah diberi minum air kelapa?

  16. Sa alam…Anak saya berusia 7 bulan. Sekarang anak saya kena demam campak. Dan setahu saya vaksin hanya di beri semasa 12 bulan. 3 hari yang lalu anak saya telah demam, masuk hari ke-4 demam baik dan ruam2 merah telah keluar di muka dan di badan. Saya sudah berjumpa doktor tetapi doktor hanya mengatakan hanya ruam biasa dan di beri Calamine lotion. Ruamnya semakin teruk kerana mengeluarkan biji halus berair. Apa yang perlu saya lakukan sekarang? saya bimbangkan pada kesan sampingan yang boleh berlaku jika vaksin belum diberi pada umur 12 bulan tersebut.

  17. Sa alam…Anak saya berusia 1tahun 2 bulan. Sekarang anak saya kena demam campak. demam dan ruam2 merah telah keluar di muka dan di badan. Saya sudah berjumpa doktor tetapi doktor hanya mengatakan hanya ruam biasa . Ruamnya semakin teruk kerana mengeluarkan biji halus berair. Apa yang perlu saya lakukan sekarang? saya bimbangkan pada kesan sampingan yang boleh berlaku jika vaksin belum diberi pada umur 12 bulan tersebut.

  18. salam,ank sy 6bln alah pd telur segala mknan yg berunsur protien..saya takut nak bg dia vaksin campak sbb dlm vaksin tu ada sumber protien.jd mcmmana?tetap dberi vaksin ataw x?tlg sy!

    • baby saya pun ada alahan dgn telur, sekarang dah 1 thn stgh..belum dpt suntikan MMR. saya risau dgn jangkitan campak ini. sila beri ulasan. tq

  19. saya demam campak dah telah beransur pulih, alhamdulilah.

    • bgs lah.. bg ar petua skit

  20. adik saya berumur 3 tahun setengah.dia terkena demam campak lalu terdapat 1 bintik besar sederhana di lidah,adakah ia menyebabkan maut?apakah perlu mengambil suntikan?dimanakah hospital atau klinik yang boleh merawat penyakit adik saya?

  21. saya baru pertama kali kena penyakit demam campak..pada mulanya tidak sangka akan jadi bintik2 yang teruk begini..sekarang seluruh badan saya dipenuhi bintik2….tambahan lagi,saya juga mengalami sakit dada yang agak teruk sehingga tidak dapat tidur..adakah simptom sakit dada ini adalah permulaan yang mana paru-paru saya sudah di jangkiti kuman dan seterusnya akan menyebabkan kematian…apabila membaca artikel demam campak yang mengatakan demam campak ini boleh menyebabkan kematian ,saya bertambah risau sangat..umur saya masih belasan tahun dan terlalu muda untuk saya untuk menghadapi kematian..adakah paru-paru saya sudah di jangkiti kuman dan seterusnya akan menyebabkan kematian??

    • Jumpa doktorlah.. Minum air kelapa muda. Dan boleh cuba ambil minyak habatussauda untuk kuatkan sistem imun badan. Boleh juga minum minyak kelapa dara. HPA ada jual.

  22. anak saya 8 tahun , pagi tadi timbul bintik-bintik merah di badan dia . dah jumpa doktor , kene demam campak rupanya . tapi masih sihat kerana tidak demam , .pegi klinik pun krim je yg die bagi . saya ikut petua gunakan daun semambu , beras dan kunyit , dimesin halus dengan sedikit air . lalu disapukan di bahagian bintik2 merah itu . alhamdulillah , anak saya ade kurang . gelembung-gelembung merah tadi pecah .tapi , cuma nak tahu biasnya berapa hari campak ni akan berakhir ?

  23. as salam.. saya ingin tahu.. saya beru je dikurniakan seorang anak.. anak saya baru berusia 1 bulan 6 hari, baru2 nie saya terkejut anak saya tiba2 diserang demam campak.. apa yang perlu saya buat sedangkan vaksin demam campak diberikan ketika umur bayi 12 bulan.. boleh beri sedikit nasihat… amat memerlukan!!!!!

  24. doc..ai…ssalamualaikum…sya nak tanya..anak sy bumur 1 tahun 10 hari baru2 ini saya pergi ke klinik untuk dapatlan suntikan mmr…
    doktor beri tahu…bayi yang ada alahan pada telur..tidak boleh di suntik…kenapa???
    sekiranya di suntik..apakah kesannya?
    bahayakan kepada byi saya

  25. aslm..sya nak tanya, anak sya berumur 7 bln lebih baru2 ni anak sya kena demam dah jmpa doktor tp doktor kata kena demam biasa saja sbb tumbuh gigi, 4 hari anak sya demam hari ke-5 dah ok pas 2 kluar bintik2 merah sekitar belakang badannya nak tanya anak sya kena campak ke? ada petua utk mengurangkan sakitnya? dan berapa hari campak 2 blh sembuh?

  26. anak saya sedng dalam keadaan demam campak tetapi badan terlalu panas.so bagi la input sesiapa yang ada pengalaman

  27. sy nk tny ank sy bru brusia 6 bln…sblm ni dia dh dmm hmpir smggu tp dmm on off la..g klinik dktor ckp dmm biasa je dia pn ada batuk dn selsema…stu ari tu dmm dia trlalu tggi smpi sy trpksa bwk dia g hospital pnas dia dh mncecah 40oC…selang 2 ari pns dia dh surut bru kuar bintik merah kt muka dn bdn..blh x bg sy kngsi pengalaman ape harus sy lakukn ptt ke sy mmbawa ank sy ke klinik atau mngikut petua org tua mndikn ngn air kelapa

  28. salam. saya baru bersalin 17 hari. dan kini menghidapi chickenpox. saya memberi susu bdan sepenuhnya kepada baby.
    1)saya nak bertanya bagaimana penjagaan demam campak ketika pantang. sebab ketika pantang ni air kelapa x leh minum.
    2)adakah penyakit ini akan beransur dengan cepat? bagaimana pula dengan penyusuan baby?
    3) perlu beri susu badan atau diberi susu formula?

    • salam kak, skrg saya pon bru 16 hri dlm bpntang..kna dmam cmpak.. mcm mna nk ubatkan? tlg saya kak.. ksian kat anak x dpt nak mnyusu bdan..

  29. anak saya baru lepas sembuh demam campak..adakah kesan jangkitan ini pada paru2 akan berlaku?atau pada bahagian lain2 organ badan..sebab selepas demam anak saya masih terlalu lemah lagi..adakah memadai dengan meminum air kelapa muda sahaja?ok.t,kasih

  30. bayi sy br 2 bln..kena cmpk ..truk plk tur..ad tips

  31. Nakakaapekto ang mababang mga level ng testosteron sa mga level ng enerhiya at libido at maaaring maglahad ng mga problema sa kalalakihan sa lahat ng edad. Hindi sorpresa na ang testosteron boosters ay naging masyadong karaniwan. http://titangel-in-philippines.com/ Ngayon, kapag ang mga publikasyon at propesyonal ay sinusuri ang produkto na lumitaw dito at doon, katanyagan ito ng biglang pagtaas. Sinimulan ko ang aking pananaliksik at pag-hahanap ng Titan gel upang masolusyonan ang aking problema ng mas maaga ng kaunti, kaya, may kakayahan na akong ilarawan ang nakuhang resulta mula sa kilos nito.


Tinggalkan Jawapan kepada mas Batal balasan

Kategori