Oleh: Abi Muslih & Mama Farhah
Seperti yang telah dihuraikan dalam artikel sebelum ini, naluri kasih sayang adalah bekalan penting dalam mendidik anak-anak. Kasih sayang itu tidak lahir secara tiba-tiba. Ia perlu dibenih dan dibajai. Ibarat pohon yang subur. Ia bermula dengan benih yang baik. Dijaga, disiram dan dibajai pada kadar yang sesuai. Bagitulah kasih sayang yang memerlukan usaha dan ikhtiar dari manusia sendiri, di samping lontaran nikmat kasih semulajadi yang dikurniakan oleh Allah.
Ada yang menyangka bahawa kasih sayang itu bersifat statik. Jika sudah ada maka terjamin selama-lamanya ada, dan terus kekal. Lantas mereka mengabaikan usaha untuk memupuk dan menyuburkan kasih sayang. Hubungan kekeluargaan menjadi kaku, beku, kering dan membosankan. Mereka fikir, kasih sayang itu seperti batu bukit, yang tidak berganjak, tidak bergerak dan kukuh tanpa diusik. Padahal, kasih sayang itu bagai batu permata, yang perlu digali, dikeluarkan, dicanai dan sentiasa digilap. Agar ia terus bergemerlapan mewarnai keindahan nikmat kehidupan.
Soalnya, bagaimana cara untuk menyuburkan kasih sayang ini.
Rasulullah s.a.w. bukan sahaja menganjurkan umatnya menyebarkan kasih sayang bahkan menunjukkan contoh praktikal bagaimana dihayati. Baginda menyebut dalam riwayat Abu Daud dan Al-Tarmizi daripada Amru bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya bahawa: ‘Bukan dari golongan kami sesiapa yang tidak merahmati orang yang kecil dari kalangan kita dan tidak mengetahui hak orang-orang yang besar dari kalangan kita’
Bahkan Baginda menegur para sahabat yang tidak bersifat belas ihsan terhadap kanak-kanak. Menurut riwayat al-Bukhari daripada Aisyah r.a., pernah satu ketika, seorang Arab Badawi datang menemui Nabi s.a.w lantas bertanya kepada Baginda: Adakah kamu mencium anak-anak kamu? Kami tidak mencium mereka” Maka Nabi s.a.w. menjawab:”Apa boleh buat, kerana Allah telah mencabut sifat rahmat dari hati kamu!”
Al-Bukhari meriwayatkan juga daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah telah mencium cucunya Al-Hasan bin Ali, dan pada masa itu Al-Aqra’ bin Habis sedang duduk bersama-samanya. MAka Al-Aqra’ berkata: ‘Sesungguhnya saya mempunyai sepuluh orang anak, dan saya tidak pernah mencium seorang pun dari kalangan mereka.” Rasulullah memandang ke arahnya, lantas bersabda: ”Sesiapa yang tidak mengasihani orang lain, maka dia tidak akan dikasihani.”
Apa yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. mesti diikuti oleh semua ibu dan bapa. Secara ringkasnya perkara-perkara berikut boleh dilaksanakan bagi membajai rasa kasih sayang terhadap anak-anak:
• Menghayati rasa kasih itu di dalam hati agar ia terpasak kukuh, dengan meluruskan niat bahawa kasih itu adalah kerana Allah.
• Berdoa agar Allah mengeratkan kasih sayang dengan membayangkan wajah anak-anak semasa berdoa.
• Membelai anak-anak secara fizikal seperti memeluk, mencium, menggosok-gosok, menyapu minyak atau apa-apa belaian yang sesuai.
• Membelai perasaan mereka dengan komikasi intim seperti mengucapkan rasa sayang, rindu, penghargaan dan sebagainya.
• Bermain dan bergurau dengan mereka
• Beriadah atau melancong bersama-sama
Memang benar kasih sayang ibu dan bapa terhadapnya itu adalah fitrah. Tetapi di dalam kalbu manusia bukan sahaja ada naluri kasih, bahkan terdapat juga nafsu yang boleh mendorong kearah kebobrokan. Fitrah yang murni ini, jika tidak diusahakan agar terus mekar dan bersinar, boleh dimalapkan dengan nafsu ammarah yang mengajak kepada kehancuran dan kemusnahan. Tidak hairanlah kenapa ada manusia yang sanggup membelasah atau mendera anak sendiri, bahkan ada merogol dan membunuh anak kandung tanpa belas ihsan.
Tegasnya, jika ibu bapa gagal membajai dan meningkatkan tahap kasih sayang, ia membuka ruang kepada nafsu untuk menguasai diri. Manusia yang dikawal nafsu boleh menjadi lebih ganas dan lebih jahat daripada haiwan. Haiwan yang ganas seperti singa pun tahu menyayangi anak-anak mereka. Mereka membelai, menjilat si anak di samping memberikan makanan dan susu. Bila si anak meningkat remaja, anak singa itu diajar pula cara-cara untuk berburu. Rusa yang hendak dimakan itu tidak dibunuh terus, tetapi dicederakan sahaja supaya anak-anaknya boleh belajar bagaimana menengejar rusa. Semua ini berlaku kerana naluri kasih yang Allah campakkan dalam hati binatang itu.
Allah sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran manusia. Ada binatang yang kasih kepada anaknya sehingga sanggup berkorban mempertaruhkan nyawa sendiri. Penguin adalah satu contoh binatang yang bersedia mengharung kepayahan demi mengeram dan membesarkan anak. Setelah penguin betina bertelur, ia perlu keluar mencari makanan sebagai persediaan bila telur itu menetas. Penguin jantan berperanan untuk mengeramkan telur itu selama empat bulan dalam musim ribut. Penguin jantan membuat pengorbanan untuk mengeram telur itu selama empat bulan tanpa berganjak sehingga ia kehilangan separuh berat badan kerana tidak dapat keluar mencari makanan, serta bertahan dalam ribut yang kuat.
Selepas tamat tempoh itu, penguin betina datang dan mengambil alih tugas menyambit kelahiran anak, seterusnya menjaga dan mendidik anak dalam beberapa bulan tanpa mempunyai banyak peluang untuk makan. Nampaknya, kedua-dua ibu dan bapa penguin menunjukkan gambaran naluri kasih sayang terhadap anak-anak mereka. Allah menjadikan mereka berkerjasama semata-mata untuk membesarkan anak-anak.
Apa yang menghairankan, terdapat manusia yang dikurniakan aqal fikiran tidak bersifat belas kasihan kepada anak-anak mereka. Akibat terhakisnya naluri kasih sayang inilah, maka ada segelintir ibu bapa yang sanggup mendera dan menyakiti anak-anak yang lemah dan tidak berdaya itu. Bila nafsu ammarah menguasai diri, mereka hilang pertimbangan, luput kewarasan, lantas mereka memukul anak-anak dengan objek keras, mencucuh badan anak dengan rokok, menendang si kecil itu sekuat-kuatnya, menampar pipi yang comel itu dengan semahu-mahunya, disusuli dengan kata-kata yang menghina, mengherdik, dan meluputkan nilai kemanusiaan.
Tidak kurang juga manusia yang sanggup membunuh bayi yang baru lahir. Si kecil yang masih merah, tidak mempunyai apa-apa dosa menangis-nagis manja minta didodoi dan disusui. Si kecil yang lemah, tidak berdaya itu menyondol-nyondol tangan ibunya minta disantuni. Namun tangan si ibu yang tiada peri kemanusiaan sanggup, membungkus bayinya sendiri yang masih bernyawa untuk dicampakkan. Jika si kecil itu merengek-rengek, mereka sanggup menyumbat gumpalan kain ke dalam mulut bayi yang malang itu. Supaya bayi itu diam. Lalu dibuang bayi itu ke dalam longkang, sungai, tong sampah, ke dalam hutan atau dimana disukai. Bahkan ada yang tergamak menyumbat bayi sendiri dalam lubang tandas, lantas ditariknya pam air supaya bayi itu hanyut dalam sesalur dan bersatu dengan najis-najis di kolam kumbahan. Alangkah hodohnya manusia yang hilang kemanusiaan ini.
Si ibu-ibu pembuang anak, juga si bapa-bapa pendera ini tidak sedar bahawa azab yang dahsyat menanti mereka di akhirat nanti. Melainkan jika mereka bertaubat. Mereka lupa bahawa anak-anak itu bukan hak mutlak mereka. Walau pun lahir dari zuriat sendiri, tetapi anak itu adalah makhluk Allah yang ada kehormatan, dan ada hak. Membunuh mereka atau mencederakan mereka adalah noda yang besar di sisi Allah, serta jenayah yang amat berat di sisi ummah.
Tegasnya, naluri kasih sayang itu satu benih yang perlu dijaga. MAnusia sebagai khalifah, diberi pilihan. Mereka boleh menyuburkan dan merimbunkannya. Mereka juga boleh melayukan bahkan mematikan kasih sayang itu. Apa yang penting ialah kesedaran ummah tentang betapa pentingnya ibu bapa digembelingkan supaya mengasihi anak-anak berlandaskan ajaran Islam dan meneladani contoh unggul Rasulullah Sallallahi ‘alaihi wasallam.
Lawati: https://abimuslih.wordpress.com
sayangilah sekecil yang suci sebersih kain putih………. jangan biarkan yang tidak berdosa menjadi magsa.. sayangilah dye………
By: zul ' ain on September 8, 2008
at 1:03 pm